Oleh Izmil Amri
Arakian maka tersebutlah kisah laman media sosial rasmi Munsyi Muda Bahasa di Facebook telah berkongsi dua keping gambar makanan. Kalau ada lebih daripada dua, saya tidak tahu. Kedua-duanya bertujuan untuk membetulkan ejaan makanan terbabit, bertepatan usaha Dewan Bahasa dan Pustaka untuk ‘membetulkan yang biasa, dan membiasakan yang betul’.
Gambar pertama adalah sepinggan ‘mi’ Hokkien, siap dengan lemak babinya berkilat-kilat di tengah. Gambar ini bertujuan memperbetulkan ejaan awam bagi kata ‘mi’ goreng. Bukan ‘mee’ atau lebih teruk lagi ‘mie’.
Kenapa ‘mi’ Hokkien digunakan untuk menggambarkan ‘mi’ goreng, saya kurang periksa. Kita tahu itu ‘mi’ Hokkien kerana ada pembaca yang menegur. Cina, tentunya. Takkan Melayu pula.
Gambar yang kedua pula adalah sepinggan ‘kuetiau’ goreng. Yang ini tak ada babi. Gambar ini juga dipaparkan bagi memperbetulkan kebiasaan awam mengeja ‘kuetiaw’ atau ‘koay teow’ ketimbang ejaannya yang tepat.
Saya terbaca perkongsian lain yang mengulas obsesi membetulkan ejaan picisan begini.
Katanya baik di Malaysia mahupun Singapura, majlis bahasa kebangsaan kedua-duanya masih sibuk dalam pertikaian ejaan. “Padahal tak mati pun kita tanpa rejim ejaan bodoh ni,” ujarnya. “Yang penting semua faham”.
Saya harus bersetuju. Mustahil saya tidak setuju.
Kuetiau, koay teow atau kuetiaw; bendanya sama. Bunyinya juga sama. Tidak ada kekeliruan di situ. Tak pernah lagi saya pesan kuetiau dapat nasi goreng; tidak kira lah betapa pekaknya insan yang mengambil pesanan.
Begitu juga halnya dengan ‘mi’ goreng. Mi, mee, atau mie; semuanya serupa. Seperti definisi Kamus Dewan, ‘sejenis bahan makanan yang rupanya seperti laksa tetapi biasanya berwarna kuning, diperbuat daripada tepung gandum’. Tiada keraguan di situ. Pergi lah ke mana pun, dengan ejaan apa jua, bendanya tetap sama. Bahasa tentunya bukan sekadar soal huruf, tetapi bunyi dan pemahaman.
Apa sebab kita perlu kalut memperbetulkan ejaan makanan ini, saya tidak mengerti. Padahal ada kekeliruan bahasa yang jauh lebih membimbangkan, berbanding ejaan ‘mi’ dan ‘kuetiau’.
‘Bangsa’ Malaysia
Pada tahun 1991, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Keenam, Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad telah memperkenalkan suatu gagasan yang diberi nama Wawasan 2020.
Wawasan 2020 digagaskan setelah kerajaan Barisan Nasional menang besar dalam pilihan raya umum tahun 1990. Di bawah pimpinan Mahathir, BN memenangi 127 kerusi; dengan Umno kekal dominan berbekalkan 71 kerusi. Umno ketika itu sedang beransur pulih daripada krisis kepimpinan dua tahun sebelumnya yang melahirkan Semangat 46.
Di tengah-tengah kemelut dan perpecahan itu, satu usaha perlu dibuat untuk menyatu-padukan umat Malaysia.
Maka Mahathir pun meletakkan sembilan cabaran strategik yang harus dihadapi rakyat Malaysia bagi mencapai Wawasan 2020. Cabaran yang pertama, adalah:
“Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.”
Lapan lagi cabaran yang digariskan Mahathir pun menarik untuk dilihat, tapi mari kita beri tumpuan kepada yang satu ini. Terutamanya kepada kalimat ‘bangsa Malaysia’ itu.
Definisi ‘bangsa’
Persoalan definisi ‘bangsa’ bangkit semula sepuluh tahun lalu ketika Hannah Yeoh melahirkan anak sulongnya.
Jabatan Pendaftaran Negara, pada tahun 2011 enggan membenarkan Hannah mendaftarkan ‘bangsa’ anaknya sebagai ‘anak Malaysia’; dan menyatakan bahawa ‘bangsa’ si anak mestilah mengikut bapa.
“Betul lah tu. Apa hal bangsa nak jadi ‘anak Malaysia’ pula?” ujar ada sambil mengerutkan dahi. Ada-ada sahaja lah DAP ni.
Kekeliruan tentang kalimat bangsa ini juga timbul ketika cabaran Bangsa Malaysia diajukan oleh Dr Mahathir. Ada yang menyebut bahawa konsep ‘Bangsa Malaysia’ ini samar-samar sifatnya sehingga melampaui batas Perlembagaan dan meninggalkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menegaskan entiti etnik Melayu.
Kelakar bukan? Dalam menyerang gagasan bangsa Malaysia itu, ada pula modal Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Kata ‘bangsa’ dalam ‘kebangsaan’ langsung tidak sama maknanya dengan konotasi ‘bangsa’ yang dibantah tadi.
Ternyata, kekeliruan ini berakar daripada hakikat bahawa kata ‘bangsa’ itu ada dua definisinya. Yang pertama ‘bangsa’ yang merujuk keturunan, kaum, jenis; dan yang satu lagi adalah kelompok manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan.
‘Bangsa’ dalam faham kebanyakan orang, adalah menurut definisi yang pertama. Padahal, konotasi ‘bangsa’ dalam Bangsa Malaysia, sepertimana Bangsa Johor adalah menurut definisi kedua.
Itu sebabnya kita menterjemah ‘nation state’ sebagai ‘negara bangsa’; ‘national school’ sebagai sekolah kebangsaan, ‘national stadium’ sebagai stadium negara; dan Hari Kebangsaan sebagai ‘National Day’.
Saya tidak hairan kalau ada yang mendesak sistem pendidikan satu aliran dengan alasan ia percaya bahawa sekolah kebangsaan adalah sekolah yang menerapkan identiti ‘bangsa’ Melayu, dan justeru melenting kenapa ada ibu bapa yang lebih berkenan menghantar anak-anak mereka ke Sekolah (Jenis) Kebangsaan.
Kekeliruan ini mewujudkan jurang persefahaman yang melebar, hari demi hari.
Sehinggakan apabila Tun Dr Mahathir dalam wawancara anjuran Sinar Harian baru-baru ini menyebut tentang rasa sayangnya terhadap ‘bangsa’; ada yang melompat menyatakan bahawa mereka tidak sebangsa dengannya.
Ternyata cabaran ‘Bangsa Malaysia’ bukan setakat membentuk kesatuan dan toleransi dalam sebuah masyarakat berbilang latar keturunan, budaya, kepercayaan dan adat resam, bahkan merupakan cabaran mendidik kefahaman dari serendah-rendah tingkatan, untuk membezakan maksud-maksud berbeza sepatah perkataan.
Tidak seperti mangga dan kopek yang meski masing-masing mempunyai lebih daripada satu maksud tetapi tidaklah sebegitu signifikan terhadap usaha membina negara, kata ‘bangsa’ mempunyai kepentingan yang amat tinggi. Salah faham masyarakat terhadap kata ‘bangsa’ tentu sekali boleh membawa binasa.
Maka soalnya kenapa Dewan Bahasa dan Pustaka membiarkan kekeliruan sedemikian menjadi barah pembodohan masyarakat? Sibuk pula dia membetulkan ejaan makanan.
Apa kata sambil-sambil DBP meleraikan kekusutan faham masyarakat tentang kalimat ‘bangsa’ dan konsep ‘bangsa Malaysia’ sebagai sebuah wadah perpaduan; betulkan juga cara masyarakat mengeja kata ‘biadab’.
Sudah terlalu ramai orang menggunakan ejaan propaganda anti-DAP; ‘biadap’. Bukankah masyarakat perlu dididik untuk membetulkan yang biasa, dan membiasakan yang betul?