TUBUH KERAJAAN CARA KHIANAT, KEKALKAN KERAJAAN PUN CARA KHIANAT…TIDAKKAH INI SEBURUK-BURUK PERANGAI PEMIMPIN?

 

Secara tiba-tiba saja sekarang ini timbul semula isu beberapa Ahli Parlimen PH/PKR didesas-desuskan akan melompat parti untuk menyokong kerajaan pintu belakang PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Lebih menarik, isu ini timbul hanya beberapa hari setelah Yang Dipertuan Agong menitahkan bahawa Parlimen dibenar bersidang dalam tempoh darurat dikuatkuasakan.

Seolah-olah disebalik tiada mana-mana menteri kabinet, temasuk Muhyiddin sendiri memberi respon terhadap titah Agong itu, usaha di belakang tabir nampaknya sedang giat dilakukan untuk mengelakkan kerajaan daripada ditumbangkan.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mengakui wujud usaha-usaha terancang untuk melemahkan kekuatan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, termasuk daripada Keadilan.

Katanya, usaha tersebut sedang dilalukan dengan pendekatan ugutan dan umpan habuan sama ada berkaitan isu cukai pendapatan, siasatan polis dan SPRM atau tawaran projek dan jawatan dalam kerajaan.

Setelah tiga Ahli Parlimen UMNO diketahui secara jelas tidak lagi menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, usaha terbaru ini dilihat bertujuan untuk menampung kekurangan majoriti yang kian menghilang itu.

Oleh kerana sudah hilang tiga sokongan setakat ini, hangat diperkatakan dua Ahli Parlimen PH sedang dalam perhatian untuk dipujuk melompat parti itu.

Secara logiknya, mengganti dua dengan tiga yang sudah menarik sokongan memang tidak mencukupi untuk menyelamatkan kedudukan Muhyiddin.

Dengan itu, bermakna selepas dua Ahli Parlimen yang dispekulasikan itu berjaya disuruh melompat parti, bakal ada lagi beberapa yang lain akan turut berbuat demikian.

Maka, sebagai menyambut baik titah Agong agar Parlimen dibenarkan bersidang, mungkin hanya setelah selesai segala urusan “membeli-belah” yang meriah itu, barulah Muhyiddin akan menghadap Agong untuk menetapkan tarikh persidangan Dewan Rakyat.

Dengan yang demikian, ternampaklah akhirnya Muhyiddin telah memenuhi titah Agong untuk membennarkan Parlimen bersidang, seterusnya berjaya pula mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Dengan kedudukan kewangan dan kuasa tanpa had yang dimiliki kerajaan PN, kemampuan mereka untuk membeli, menyogok atau menawarkan apa-apa jawatan serta kedudukan kepada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Muhyiddin memang tidak diragui.

Bagi yang tidak kuat iman, tidak kukuh pendirian dan hanya mementingkan kebendaan, tawaran lumayan yang ditawarkan memang boleh mencairkan pendirian.

Tetapi, haruslah diingat, perbuatan itu adalah suatu pengkhianatan terhadap undi rakyat yang memenangkan mereka sebelum ini.

Pemimpin sedemikian yang hanya meletakkan murninya perjuangan di lidah ketika berkempen semata-mata, tetapi sebenarnya sibuk memikirkan perut sendiri, tidak harus lagi terus diberi ruang untuk menipu pengundi melalui gelaran YB yang dimiliki.

Namun, jika benar ini berlaku, yang terburuk dan terkutuk sekali perlakuannya, selain Ahli Parlimen yang tiada pendirian itu, tentulah kerajaan PN itu sendiri.

Setelah menubuhkan kerajaan melalui pengkhianatan, pintu belakang dan tidak dengan proses pilihanraya, bertahan pula kerana adanya Covid19 dan kemudian cuba bertahan lagi dengan menggunakan darurat, terlihat kini jalan pengkhianatan juga yang dipilih untuk mengelakkan daripada dijatuhkan.

Bukankah ini seburuk-buruk perangai pemimpin dan kerajaan yang kita?

Kalau sudah begitu caranya mereka bertahan dan mengekalkan kerajaan, apakah pembelaan yang boleh rakyat harapkan daripada PN ini? 


(Shahbudindotcom 27/02/2021)