Di mana-mana ketika ini banyak kedengaran rakyat bersungut dan tidak setuju dengan tindakan kerajaan menaikkan kadar kompaun terhadap pelanggaran SOP ketika PKP dilaksanakan.
Bermula 11 Mac depan, kadar kompaun individu yang selama ini RM1000 akan dinaikkan kepada RM10 ribu.
Bagi syarikat atau pertubuhan yang melanggar SOP pula, mereka boleh didenda sehingga maksimum RM50 ribu.
Apa pun alasan untuk menaikkan kadar tersebut, ramai yang melihat ia sebagai tanda kegagalan kerajaan sendiri dalam menguatkuasakan SOP yang ditetapkan selama ini.
Kegagalan itu antararanya disebabkan tindakan kerajaan sering berubah-ubah dan tidak konsisten dalam SOP yang mereka tetapkan.
Ia akhirnya menjadikan rakyat keliru dan tidak menentu.
Lalu, menaikkan kadar kompaun dilihat sebagai pilihan untuk menutup kegagalan tersebut serta bagi memastikan SOP yang ditetapkan benar-benar dipatuhi.
Lebih buruk lagi, dalam menguatkuasakan SOP itu juga kerajaan menampakkan sikap pilih kasih yang ketara antara rakyat biasa dengan golongan kayangan atau menteri-menteri.
Ada beberapa menteri yang sudah berkali-kali didedahkan media melanggar SOP, tetapi tetap tidak dikenakan apa-apa tindakan sehingga kini.
Kalau rakyat biasa yang didapati melanggar SOP terus saja didenda RM1000, tetapi menteri yang juga bersalah melanggar SOP kononnya perlu kebenaran Pejabat Peguam Negara terlebih dahulu sebelum tindakan dapat diambil.
Ehh…apa ni?
Apa istimewanya menteri berbanding rakyat biasa dari sudut undang-undang?
Kalau denda RM1000 pun ramai menteri-menteri yang terlepas daripada tindakan, apakah selepas denda dinaikkan kepada RM10 ribu, mereka akan diambil tindakan?
Atau kenaikan denda RM10 ini hanya untuk menekan lagi kehidupan rakyat bawahan yang memang sudah sedia tertekan kehidupan mereka ini?
Dalam hal ini, ada yang berkata, jenis kerajaan apakah yang kita ada sekarang ini di mana ketika rakyat dibelenggu dengan pelbagai kesukaran mencari rezeki, namun ditekan lagi dengan ancaman denda yang semakin tinggi?
Apakah kerajaan sudah begitu miskin dan tiada wang sampai mahu mengambil duit daripada saku rakyat sebagai perbelanjaan?
Walaupun kadang-kadang ada luahan yang diperkatakan itu tidak masuk akal, yang nyata itulah petanda kemarahan mereka yang sudah tidak tertahan lagi.
Dengan harga barang sentiasa naik seolah-olah tiada kawalan atau pemantauan dan petrol pula menaik setiap minggu, kenaikan kadar denda yang diambil kerajaan ini benar-benar tidak dapat diterima.
Ia jelas memburukkan lagi tahap keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan yang dipimpin Muhyiddin Yassin sekarang ini.
Di media sosial dan perbualan dalam grup Whatsapp, jelas boleh dilihat kemarahan yang memuncak itu sehingga terkeluar kata-kata kesat dan makian terhadap kerajaan.
Beserta deretan pelbagai kegagalan lain, menaikkan denda ini pada hakikatnya hanya menambah-burukkan lagi tahap kegagalan kerajaan di mata rakyat.
Begitu pun, sebenarnya semua ini adalah berita baik belaka untuk rakyat yang sedang derita dan sengsara ketika ini.
Ini pasti akan membuatkan mereka tidak berfikir dua kali untuk menjatuhkan Muhyiddin dan PN di peti-peti undi bila sampai waktunya nanti.
Dalam penilaian majoriti, PN ini adalah segagal-gagal kerajaan yang pernah wujud di negara ini dan cukuplah mereka beroleh kuasa melalui cara khianat, tetapi tidak sama sekali melalui undi rakyat.
(Shahbudindotcom 27/02/2021)