MASIH PERLUKAH MUHYIDDIN SIMPAN LAGI RINA HARUN DALAM KABINETNYA?


 Kalaulah Rina Harun bukan seorang menteri, misalnya beliau adalah wanita yang bekerjaya sendiri, pasti tiada siapa pun ambil peduli dengan perubahan dan penampilan dirinya sekarang ini.

Kalau beliau seorang artis atau model yang kaya atau anak tokoh korporat yang berjaya, perubahan penampilan dirinya sekarang sudah tentu mendapat puji dan puja yang melimpah-limpah lagi.

Akan ada yang berkata, tak salah malah selayaknya berbuat demikian kerana sesuai dengan kerjaya atau sepadan dengan wang yang ada dalam poketnya.

Tetapi, apabila beliau sebagai menteri dan wakil rakyat mengubah penampilan dirinya, menggunakan pula kemudahan pejabat kementerian untuk melakukan penggambaran bagi menampilkan dirinya seolah-olah seorang model, kecaman sudah tentu tidak boleh dielakkan.

Ini kerana kerja sebagai menteri bukan untuk melawa dan menampilkan perubahan diri serta wajah menyamai artis atau model.

Kerja menteri ialah menolong rakyat dan pejabat kementerian seharusnya sibuk dengan urusan keluar masuk rakyat yang ingin bertemu atau berurusan dengannya, bukannya untuk jurugambar dan jurumekap menghabiskan banyak masa di sana.

Apa faedah dan nilai tambah bagi seorang menteri dengan mengubah wajah sebegitu rupa?

Apakah dengan kelihatan kurus dan berubah wajah akan menyebabkan sokongan rakyat bertambah baik?

Apakah perubahan wajahnya dapat mengelakkan kerajaan PN dan Perdana Menteri daripada asakan kecaman dan serangan tidak puas hari rakyat daripada pelbagai aspek seperti yang berlaku sekarang?

Apakah dengan berubah wajah juga akan menyebabkan kerjanya sebagai menteri yang selama ini kelihatan tidak berfungsi sewaktu berbadan gempal akan menjadi bertambah baik bila sudah kurus dan langsing?

Apa yang Rina Harun barangkali tidak sedar ialah kerja sebagai pemimpin atau menteri bukan dinilai melalui penampilan atau wajah, tetapi komitmen, kesungguhan, kerajinan dan semangat terus bekerja menyelesai serta membantu apa jua masalah rakyat tanpa jemu.

Apalagi jika berubah penampilan tetapi akhirnya akan menyebabkan beliau lebih sibuk dan perasan menengok wajah sendiri di cermin daripada menjengok pelbagai masalah rakyat, sama ada di kawasan Parlimen yang diwakilinya atau melibatkan kementerian yang diterajuinya.

Sesungguhnya apa yang rakyat harapkan daripada seorang pemimpin ialah penampilan yang asli, jujur dan sungguh-sungguh ingin membantu, bukan penampilan yang palsu dan direka-reka dengan tata rias berlebihan.

Baik di dalam atau di luar negara, sudah terbukti selama ini pemimpin wanita yang disayangi dan dipuja bukan kerana mereka mengubah penampilan, tetapi kerana menggandakan usaha serta pemikiran ke arah memberi sumbangan yang lebih baik melalui jawatan yang disandang.

Rakyat yang menyokong pemimpin bukanlah penonton pertunjukan fesyen atau pemuja yang kagum dengan seseorang artis pujaan sehingga sanggup membeli tiket mahal untuk menonton persembahan mereka.

Rakyat lebih selesa dengan penampilan pemimpin yang seadanya, original, tidak fake dan tidak dibuat-buat.

Kadangkala penampilan atau perubahan yang berlebihan hanya akan membuatkan rakyat jadi meluat, tambahan lagi jika kerja yang dilakukan hanya ala-ala melepas batuk di tangga saja.

Sejak menerajui Kementerian Luar Bandar di era PH sebelum ini sehinggalah Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diterajuinya sekatang, Rina boleh dikata menteri yang tidak ternampak berfungsi dengan berkesan.

Adanya beliau macam tidak ada, nak kata tiada pula, beliau tetap ada.

Kini, dalam banyak isu melibatkan ruang lingkup kementeriannya seperti rogol dalam tahanan polis, gangguan seks oleh wanita ketika sekatan jalanraya serta isu-isu lain lain melibatkan wanita, keluarga dan kebajikan rakyat, belum terdengar lagi beliau bersuara atau membuat sebarang kenyataan mengenainya.

Tidakkah pelik, yang terdengar bersuara tentang kejadian rogol dalam lokap polis ialah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan?

Di mana Rina dalam isu ini?

Adakah beliau terlalu sibuk berfoto atau bersolek sehingga tidak sempat mengarahkan pegawai medianya mengeluarkan kenyataan barang sebaris ayat sekali pun?

Dengan Muhyiddin berdepan pelbagai tekanan politik sekarang ini, perubahan penampilan Rina yang disertai dengan kecaman berterusan daripada pelbagai lapisan rakyat pasti turut membuatkan Perdana Menteri lebih tertekan lagi dibuatnya.

Perubahan penampilan menteri lantikannya itu tidak memberi apa-apa markah tambahan kepada Muhyiddin, lebih-lebih lagi setiap kali gambar dan wajah terbarunya bak model pakaian tersebar luas, bukan pujian, sebalik kejian yang diterima kerajaan.

Apakah masih perlu Muhyiddin menyimpan lebih lama Rina dalam kabinetnya, sedangkan beliau sendiri menampakkan lebih keinginan mahu jadi model atau selebriti berbanding tugas hakikinya yang dibayar gaji daripada titik peluh rakyat sebagai menteri dan wakil rakyat?

 (Shahbudindotcom 15/02/2021)




No comments: