Aplikasi Sugarbook: Malaysia ke arah Negara Liberal? soal PAS
Ini artikel yang disiarkan pada 19 Disember 2019 di laman Harakahdaily
PAS menyelar tindakan membenarkan aplikasi Sugarbook serta iklan yang tidak bermoral yang tular di media sosial baru-baru ini.
Kenapa perkara ini boleh berlaku di Malaysia, yang mempunyai Islam sebagai agama rasmi serta amat bercanggah dengan norma, akhlak dan budaya ketimuran yang kita amalkan.
Ini nyata berbeza dengan tindakan di Singapura dan New Zealand apabila mendepani isu ini.
Contohnya di Singapura, apabila Sugarbook, penyedia aplikasi Sugarbook, memasuki pasaran Singapura pada awal 2018, ia mendapat tentangan hebat pemimpin-pemimpin politik dan pertubuhan wanita Singapura.
Ahli Parlimen PAP Marine Parade, Seah Kian Peng, terus menggesa pihak berkuasa Singapura menyemak keabsahan Sugarbook di sisi undang-undang Singapura.
Ahli Parlimen PAP MacPherson, Tin Pei Ling, pula berkata, kita tidak boleh benarkan pencari untung menggunakan kelemahan belia kita dan mengeksploitasi mereka.
June Goh, Presiden Pertubuhan Majlis Wanita Singapura, juga menyebut betapa aplikasi itu mendedahkan wanita muda kepada eksploitasi, stigma, penganiayaan dan kerosakan psikologi.
Desmond Lee, Menteri Sosial dan Pembangunan Keluarga Singapura, pula menyebut aplikasi itu menggalakkan wanita muda merendahkan maruah mereka dan mendedahkan mereka kepada eksploitasi dan penganiayaan.
Begitu juga bila Sugarbook menyatakan hasrat mahu memasuki pasaran New Zealand pada awal 2019, ia mendapat tentangan hebat pemuka-pemuka masyarakat New Zealand.
Dame Catherine Healy dari NZ Prostitutes Collective berkata, hubungan sugar daddy dan sugar baby hanyalah sejenis kerja seks, dan syarikat mempromosikannya di New Zealand boleh melanggar Akta Reformasi Pelacuran.
Pengurus Perkhidmatan Visa Imigresen New Zealand, Michael Carley, berkata, hubungan sugar daddy dan sugar baby serta penyedianya adalah melanggar visa sementara yang diberikan kepada mereka yang memasuki New Zealand. Bob McCoskrie dari Family First pula berkata hubungan yang diasaskan kepada pembayaran adalah tidak asli dan akan selalu bermasalah.
Namun lain yang berlaku di negara Malaysia yang kita cintai ini.
Sugarbook adalah syarikat yang bertapak di Malaysia dan diasaskan oleh rakyat Malaysia dengan rakyat Malaysia adalah pengguna terbesar aplikasi ini.
Tetapi bila isu ini heboh, tidak seorang pun pemimpin-pemimpin kerajaan dan pertubuhan wanita yang bersuara ke atasnya.
Ke mana perginya suara Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr. Wan Ismail. Tidakkah beliau merasa bertanggungjawab melindungi wanita-wanita muda kita dari terjebak ke dalam kancah kemaksiatan dengan menjadi ‘sugar babies’ untuk mencari wang mudah.
Ke mana perginya suara Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Teo Nie Ching. Tidakkah mereka merasa bertanggungjawab melindungi pelajar-pelajar wanita di universiti-universiti tempatan yang dijadikan sasaran utama untuk menjadi sugar babies dengan diberikan keistimewaan tertentu oleh syarikat Sugarbook ini.
Ke mana perginya suara Menteri dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad dan Dr Lee Boon Chye. Tidakkah mereka merasa bertanggungjawab melindungi wanita-wanita muda ini dari ancaman kesihatan melalui jangkitan penyakit kelamin (STD) dan masalah psikiatri yang menimpa mereka ekoran menjadi sugar babies ini.
Ke mana perginya suara Menteri dan Timbalan Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Fuziah Salleh. Tidakkah mereka merasa bertanggungjawab memastikan amalan yang bercanggah dengan dasar Islam Rahmatan lil ‘Alamin selaku dasar pentadbiran negara ditamatkan ataukah mereka setuju dengannya atas dasar kebebasan.
Ke mana pula hilangnya suara pertubuhan-pertubuhan wanita seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Sisters in Islam (SIS) mahupun pejuang wanita seperti Siti Zabedah Kassim dan Datin Paduka Dr Marina Mahathir.
Adakah rakyat Malaysia masih menaruh ‘harapan’ kepada PH untuk terus menjaga bangsa dan generasi kita akan datang?
‘Islam Memimpin Perpaduan’
‘Muafakat Nasional, Membina Malaysia Sejahtera’
KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
19 Disember 2019 | 22 Rabiulakhir 1441 – HARAKAHDAILY 19/12/2019