JAMZURI ARDANI
Kungkang atau kukang adalah sejenis haiwan yang biasanya di
dapati di benua Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Dalam bahasa Inggeris, ia
dipanggil 'sloth'. Oleh kerana kungkang adalah binatang yang sangat perlahan
dan kurang bergerak, perkataan 'sloth' juga digunakan dalam Bahasa Inggeris
bagi menunjukkan sifat malas atau lembab.
Kungkang adalah haiwan yang paling perlahan pergerakannya di
dunia. Secara purata, haiwan ini bergerak tidak sampai 40 meter dalam sehari.
Kebanyakan masanya dihabiskan di ranting pokok. Kungkang jarang turun ke tanah
kecuali untuk mengawan dan membuang najis. Kungkang betina akan menjerit dengan
sekuat hati bagi menarik perhatian kungkang jantan. Jika ia bernasib baik, akan
adalah kungkang jantan yang akan bergerak turun dari pokok untuk melayaninya.
Kungkang adalah antara spesis haiwan yang wujud sejak puluhan
juta tahun yang lampau dan masih tidak pupus. Padahal banyak spesis haiwan
sezaman dengannya yang lebih gagah, pantas, dan besar yang telah pupus akibat
faktor perubahan iklim, kekurangan makanan, dan seumpamanya. Tetapi kungkang
tetap mampu bertahan dan terus wujud dengan segala sifat lembab dan malas yang
ada pada haiwan tersebut.
Rahsia haiwan ini ialah kepada kadar metabolisma yang sangat
rendah. Oleh kerana haiwan ini sangat malas dan lembab, ia tidak memerlukan
banyak tenaga untuk hidup. Daun-daun yang dimakan oleh seekor kungkang boleh
bertahan di dalam perutnya sebagai bekalan tenaga untuk tempoh melebihi
sebulan. Maka itu haiwan ini mampu untuk terus hidup walaupun dengan sumber
makanan yang sangat terhad. Oleh kerana haiwan ini tinggal dihutan, sumber
makanan tidak pernah menjadi masalah. Maka, kungkang adalah sejenis haiwan yang
tidak pernah bimbang untuk mencari makanan berbanding spesis haiwan-haiwan
lain.
Oleh kerana kungkang kurang bergerak dan selalu berada dalam
keadaan statik, ia juga selamat dari haiwan pemangsa lain. Helang tidak dapat
mengesan kedudukan mereka dari udara kerana keadaannya yang statik. Begitu juga
dengan pemangsa-pemangsa lain yang sering menganggap haiwan ini adalah
sebahagian dari struktur dahan pokok.
Tugas paling berat bagi seekor kungkang ialah membuang najis.
Mereka terpaksa turun dari pokok untuk membuang najis dan ianya suatu yang
sukar kerana mereka memerlukan banyak tenaga untuk mengeluarkan najis. Najis
disimpan dalam perut kungkang untuk tempoh yang lama sehingga berat najis itu
mencapai sepertiga dari jumlah berat badan kungkang itu sendiri. Jadi, apabila
tiba masa mereka perlu membuang najis dari perut, ianya memerlukan tenaga yang
sangat banyak bagi seekor kungkang. Ada kungkang yang mati akibat keletihan
semasa membuang najis. Tetapi, kebanyakan kungkang mati akibat jatuh dari pokok
kerana tersilap menganggap anggota badan mereka sendiri sebagai dahan pokok
lalu menjadikannya tempat berpaut dan kemudian jatuh. Kungkang yang terjatuh
dan cedera ini biasanya akan menjadi mangsa kepada haiwan pemangsa lain.
Begitulah hebatnya kuasa Allah SWT menjadikan makhluk yang
pelbagai agar diambil iktibar oleh manusia.