Kembalikan kerajaan awam di Myanmar – Anwar
Pihak tentera tidak seharusnya melakukan rampasan kuasa di Myanmar yang sedang berusaha untuk memulihkan demokrasi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan di Myanmar amat merungsingkan tatkala pihak tentera seolah-olah mahu mengembalikan negara itu ke era sebelum pilihan raya umum (PRU) 2015 yang menyaksikan kerajaan awam berjaya ditubuhkan.
“Pihak tentera seolah-olah sedang menggerakkan kudeta atau rampasan kuasa yang dilihat akan menginjak suara rakyat dan demokrasi. Semua pihak harus menjunjung perlembagaan, mandat rakyat serta akur dengan keputusan pilihan raya (yang terbaharu).
“Meski terdapat banyak kecurangan serta pencabulan hak asasi manusia yang melibatkan warga dan masyarakat Rohingnya oleh rejim yang lalu, demokrasi di Myanmar masih di peringkat permulaan serta punya masa depan. Tindakan pihak tentera ini hanya akan membalikkan aspirasi rakyat Myanmar, dan menjerumuskan negara itu terus ke lembah kediktatoran,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Presiden KEADILAN tersebut mahu pemimpin-pemimpin ASEAN melakukan tindakan pro-aktif bagi menamatkan tindakan ketenteraan dan penahanan pemimpin kerajaan yang sah di negara berkenaan.
“Pemimpin-pemimpin dunia dan ASEAN harus menggembeleng suara dan menggesa pembebasan segera pemimpin-pemimpin Myanmar dan mesti menegakkan negara hukum.
“Setelah berjuang sekian lama, rakyat Myanmar berhasil untuk memungkinkan sebuah perlembagaan dan hak terkait pilihan raya.
“Pihak tentera di sana sewajarnya mempertahankan aspirasi demokratik rakyat dan saya menggesa mereka untuk hormat serta lindungi pilihan yang telah dibuat oleh rakyat. Ia belum terlambat untuk melakukan yang sepatutnya untuk bangsa dan rakyat,” katanya lagi.
Myanmar diperintah oleh rejim junta tentera sejak rampasan kuasa pada 1992. Sejak itu tokoh demokrasi Aung San Suu Kyi dikenakan tahanan rumah.
Pada 2015 parti Suu Kyi, NLD menang dalam Pilihan Raya Umum dan membuka jalan kepada perkongsian kuasa dengan tertubuhnya kerajaan tentera – awam.
Namun pada PRU 8 November 2020 lalu parti Suu Kyi menang besar, sedangkan parti pro tentera hanya mendapat 30% sokongan. Pihak tentera mengambilalih kerajaan pada awal pagi 1 Februari dengan alasan berlaku penipuan dalam PRU.