Presiden Parti Amanah Negara
(AMANAH), Mohamad Sabu menyifatkan Pas menurut jejak Donald Trump yang
dikenali sebagai pemuja keunggulan orang kulit putih (white supremacy).
Presiden Amerika Syarikat (AS)
ke-45 sejak tahun 2016 itu juga didakwa menghasut penyokongnya menyerang ganas
bangunan Capitol minggu lalu.
“Saya berucap di Parlimen
menentang kempen ‘white supremacy’ yang dibawa oleh Trump.
“Tetapi Pas perjuangkan ‘Malay
supremacy’ demi peroleh kuasa walaupun tidak ada satu pun isu Melayu Islam yang
mereka bisingkan sebelum ini diselesaikan.
“Yang ada lulus judi 22 kali.
Pas ikut sunnah Trump. Yang ikut sunnah Trump itu Pas. Kalah pilihan raya tapi
nak jadi kerajaan,” ujarnya dalam ciapan di Twitter hari ini.
Untuk rekod, kerajaan menambah
kekerapan cabutan khas judi daripada lapan kali setahun pada tahun 2020, kepada
22 kali setahun bermula tahun ini.
Mohamad yang juga bekas Menteri
Pertahanan berkata, Trump mengisytiharkan darurat di Washington DC selepas
penyokong menyerang Parlimen iaitu bangunan Capitol kerana takut hilang kuasa.
“Pas dan Trump sama ‘sebiji’.
Cara sama. Tujuan pun sama,” tempelak Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi.
Beliau turut mengingatkan sikap
Pas sebelum ini yang kerap menggunakan alasan kerana Islam untuk pelbagai
situasi politik.
“Dahulu ketika lawan Umno
kerana Islam, nak kerjasama dengan Umno pun kerana Islam, rampasan kuasa tebuk
atap juga kerana Islam, menyokong Muhyiddin mohon darurat untuk pertahan kuasa
juga kerana Islam.
“Naikkan cabutan khas judi 22
kali setahun pula kerana apa? Islam jadi bahan gadaian,” tambah Mohamad lagi -
MalaysiaDateline