Mereka yang menolak darurat lebih hayati ‘sunnah’ Trump berbanding Rasulullah, kata Abdul Hadi
Pas menyatakan hukum Proklamasi Darurat seperti mana diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah wajib bagi menyekat penularan wabak Covid-19.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, mereka yang menolak perisytiharan itu disifatkan sebagai sudah lupa kepada sunah Nabi Muhammad yang mengajar cara untuk menghadapi darurat wabak dengan kadar dan tempoh tertentu.
Katanya, lebih dikesali, kelompok itu dilihat lebih menghayati ‘sunnah’ Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang berpolitik tanpa mempedulikan wabak yang kian kritikal.
“Kami menganggap mereka sudah lupa kepada sunnah Rasulullah yang mengajar cara untuk menghadapi darurat wabak dengan kadar dan tempoh tertentu.
“Darurat bagi menyekat penularan wabak Covid-19 wajib dilaksanakan. Semua pihak perlu berhenti sekejap berpolitiking, walaupun masih ada yang tidak mahu mengaku kalah dengan apa sahaja tindakannya.
“Darurat adalah kawalan yang wajib ditunaikan oleh kerajaan berdaulat untuk sementara waktu, bukan selama-lamanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian menolak rasional serta alasan-alasan yang telah diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari Covid-19.
Dalam kenyataan bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, tindakan menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat.
Sementara itu, Abdul Hadi menambah, Covid-19 sudah menjadi ancaman terhadap pasukan barisan hadapan yang telah didapati positif, lantas memerlukan tindakan yang luar biasa bagi menangani wabak ini sepenuhnya.
“Cadangan untuk mengisytiharkan darurat kesihatan telah dipersembahkan kepada Seri Paduka dan Baginda telah melakukan budi bicara melalui musyawarah Majlis Raja-Raja pada peringkat awal.
“Lalu Baginda telah mengambil keputusan yang tidak gopoh dengan memberikan tempoh supaya pihak kerajaan mengambil peluang melaksanakan langkah penyelesaian tanpa darurat, sekiranya dapat diatasi,” jelasnya.