TOK MAT CABAR ZAHID HAMIDI PEMILIHAN UMNO TAHUN DEPAN?

 

Entah kenapa, Presiden UMNO, Zahid Hamidi tiba-tiba saja mengungkit peristiwa lama ketika beliau mengambil cuti daripada tugas mengetuai parti pada 2019 dahulu.

Ketika beliau bercuti itu, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan memangku tugas sebagai Presiden UMNO.

Zahid Hamidi berkata, beliau pernah cuba memberikan tanggungjawab sebagai Presiden UMNO kepada orang lain tetapi parti itu tidak menjadi ‘lebih baik’ ketika itu.

Katanya, suatu ketika beliau pernah mengambil ‘cuti’ selama enam bulan dan 12 hari dari jawatan berkenaan.

Akhirnya, menurut Zahid Hamidi, setelah melakukan solat Istikharah dan berbincang dengan rakan-rakan dalam parti, beliau mengambil keputusan untuk kembali menerajui UMNO walaupun dalam keadaan serba kepayahan.

“Ketika itu saya merasakan seolah-olah bernafas dalam lumpur,” katanya dalam temubual dengan sebuah portal berita.

Zahid Hamidi seterusnya berkata, beliau bukanlah seorang pemimpin yang suka ‘mencantas’ biarpun jika ada mereka di dalam parti yang mahu ‘mencabar’ kerusi Presiden yang disandangnya.

“Tidak semua yang tidak bersetuju (dengan saya) boleh dianggap sebagai liabiliti, apapun jangan sampai parti kita diharamkan, jangan sampai kita ‘menendang’ semua orang yang tak bersetuju dengan kita sehingga nak tubuhkan parti baru.

“Dalam menghadapi cabaran dan tekanan, saya percaya pada qada dan qadar, kita mesti reda dengan apa yang datang kepada kita.

“Allah tidak akan datangkan ujian kepada seseorang jika orang berkenaan tidak mampu dengan ujian yang didatangkan itu,” tambahnya lagi.

Untuk tujuan apa sebenarnya Zahid Hamidi perlu mengungkit peristiwa lama itu?

Benarkan UMNO tidak menjadi lebih baik ketika Mohamad Hasan atau Tok Mat memangku jawatan Presiden UMNO?

Adakah dengan ini Zahid Hamidi ingin memberitahu hanya beliau yang berjaya menjadikan UMNO lebih baik?

Apakah kenyataan terbaru Zahid Hamidi ini menunjukkan beliau sedang bermasalah dengan Tok Mat?

Adakah ini juga bermakna Zahid Hamidi sudah mencium tanda-tanda Tok Mat mahu melawannya bagi jawatan Presiden UMNO pada pemilihan UMNO tahun depan? 

(Shahbudindotcom 28/11/2020)