KENAPA TIDAK MUHYIDDIN SAJA YANG UMUMKAN BERSATU TIDAK BERTANDING DI BATU SAPI

 

Dua parti utama di Sabah, BN dan PBS sudah mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRK Batu Sapi pada 5 Disember depan.

Ia sebagai menyahut seruan untuk mengurangkan kemungkinan menularnya semula Covid19 jika Warisan yang akan mempertahankan kerusi tersebut dicabar dan seterusnya berlaku aktiviti kempen dan perhimpunan orangramai.

Dua anggota PN iaitu Star dan LDP turut dilaporkan telah membuat keputusan tidak akan menyertai PRK tersebut.

PH yang merupakan sekutu Warisan, selain tentunya tidak meletakkan calon, amat mengalu-alukan keprihatinan semua parti mengambil keputusan sama demi Covid19.

Bagaimanapun Bersatu yang merupakan tonggak PN hanya akan bermesyuarat Sabtu ini untuk membuat keputusan sama ada bertanding atau sebaliknya dalam PRK itu.

Kenapa lambat sangat nak buat keputusan?

Sebagai parti kerajaan, Bersatu tidak sepatutnya berlengah-lengah dalam membuat keputusan untuk mengutamakan mencegah Covid19 berbanding mengejar kerusi.

Mengapa mesti tunggu Sabtu?

Kenapa tidak Muhyiddin Yassin saja selaku Perdana Menteri membuat keputusan tegas bahawa Bersatu tidak akan meletakkan calonnya di Batu Sapi?

Atau masih mencari ruang untuk melaksanakan juga darurat? (Shahbudindotcom 03/11/2020)