KELANTAN, NEGERI TERMISKIN DI MALAYSIA NAIKKAN GAJI WAKIL RAKYAT HINGGA RM5,000

 

Gaji pokok Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan barisan exco kerajaan negeri Kelantan bakal dinaikkan antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang.

Keputusan itu berlaku ketika Kelantan masih negeri termiskin di Semenanjung dan ketiga di Malaysia selepas Sabah dan Sarawak seperti pernah diakui tahun lalu oleh pemimpin Bersatu, Dr Mohd Radzi Md Jidin yang kini Menteri Kanan Pendidikan.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, kenaikan itu diperlukan bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji antara wakil rakyat Kelantan dan negeri-negeri lain.

Bahkan kata Naib Presiden Pas itu, gaji wakil rakyat di Kelantan diibaratkan seperti pegawai kebajikan kerana ramai masyarakat di kawasan memerlukan perhatian dan bantuan mereka.

“Jadi, untuk merapatkan perbezaan ini, sekurang-kurangnya beza tak ketara dengan negeri lain, sebab itu ada cadangan supaya kita selaraskan (gaji wakil rakyat).

“Yang kedua, ini saya akan sebut dalam pembentangan memandangkan keadaan semasa semakin berat, kenaikan (gaji) wakil rakyat ini, dia (wang) pergi ke orang ramai juga.

“Sebab wakil rakyat kita di Kelantan peranannya macam pegawai kebajikan,” dipetik Astro Awani hari ini.

Untuk rekod, kerajaan negeri Kelantan mencatat belanjawan defisit dianggarkan bernilai RM66.02 juta dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Persidangan kali ini juga meluluskan rang undang-undang bertujuan untuk meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri 1980 bagi membolehkan kenaikan serta penyelarasan gaji.