HISHOMUDDIN BAKAR
Pengajaran:
Pernah terserempak dengan "Ustaz Muda" yang
bersemangat menyampaikan mesej tarbiah. Aku dijemput sama ke program berkenaan
sebagai penceramah jemputan. Oleh kerana tiba lebih awal, aku turut serta dalam
kuliah "Ustaz Muda" itu.
Sedang asyik mendengar kuliahnya, lamunanku tersentak. Tidak
semena-mena namaku disebut. Konotasi buruk diberikan seiring dengan namaku
disurahkan.
Sebelum ini label negatif sebegitu aku sudah lali sejak
bergelumang dalam dunia tarbiah mahasiswa. Biasanya kudengar secara jauh-jauh.
Hujung-hujung telinga saja, tetapi kali ini aku dapat dengar dengan jelas.
Tepat di depan mata pula.
Hatiku bertanya, masakan Ustaz Muda lulusan timur tengah, bumi
anbiya' ini menuturkan bicara nista sebegini rupa, bisikku.
Lalu aku mengangkat tangan ingin bertanya dan mencari kepastian.
Dia meminta aku meneruskan pertanyaan. Mungkin padanya aku ada kemusykilan.
Aku terus bertanya kepadanya, "Ustaz kenal ke Ustaz Hisom
tu?".
Pertanyaanku dijawab pantas. "Ana sangat kenal dia akhi,
dia bla, bla, bla...", meneruskan ngomelan tanpa asas. Tidak mahu
kunyatakan ngomelannya di sini.
Aku kebingungan. Dia bicara dusta pada sosok yang berada di
hadapannya, dibilangnya kenal rapat denganku, sedangkan aku tidak mengenalinya
dan jelas dia juga tidak mengenaliku! Bagaimana boleh berkata bahawa dirinya
amat mengenaliku. Pelik bukan?
Mau sahaja amarahku memberontak. Ingin tangan kananku ku hayun
ke kepala benak dan bebal Ustaz Muda ini. Tapi aku lihat kiri dan kananku. Aku
istighfar, peserta program hadir untuk program kebaikan bukan untuk melihat
pergaduhan penceramah.
Selesai program ku temani beliau ke keretanya. Aku perkenalkan
diri, "saya saudara kamu dalam Islam, Hisommudin Bakar atau Hisom yang
enta sebut dalam ceramah enta tadi", kataku tepat kepadanya.
Dia diam tanpa bicara, menghidupkan enjin dan berlalu begitu
sahaja.