Cubaan bunuh diri, keganasan rumahtangga tinggi sepanjang Covid 19
Kerajaan perlu menyediakan dasar yang lebih baik bagi kesihatan mental berikutan fakta keganasan rumahtangga dan cubaan bunuh diri yang tinggi sepanjang pandemik Covid 19.
Menurut Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Fadhlina Siddiq, angka keganasan rumahtangga yang meningkat sejak Mac lalu memerlukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat fokus kepada mewujudkan ekosistem berkehidupan yang lebih sesuai.
“Memang dalam tempoh pandemik Covid 19 keganasan rumah tangga luar biasa tinggi. Naik 800%.
“Kes-kes penceraian yang difailkan di mahkamah syariah sangat tinggi. Juga kes penderaan melibatkan isu mental.
“Apa yang kita tempuh dalam pandemik bukan sahaja mengenai keluarga, tetapi ekosistem (yang kurang sesuai) dan sokongan masyarakat.
“Saya katakan Kementerian Wanita atau Jabatan Kebajikan Masyarakat mesti melihat ekosistem sokongan yang lebih meluas.
“Bukan sahaja beri bantuan bersifat material tetapi juga bagaimana melindungi masyarakat dari segi emosi dan kesihatan mental,” katanya kepada Suara Keadilan.
Fadhlina tidak menolak gelombang ketiga pandemik Covid 19 yang melanda sekarang akan meningkatkan lagi tekanan mental ketika moratorium pinjaman bank telah berakhir.
Katanya, desakan kewangan mungkin menyebabkan segelintir rakyat hilang pertimbangan.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (Mac – Mei 2020), berdasarkan kajian kita, idea untuk membunuh diri tinggi di kalangan belia dan percubaan bunuh diri tinggi di kalangan wanita
“Jadi inilah isu-isu yang bukan sahaja perlu dilihat secara kritikal tetapi perlu ditangani oleh kerajaan NGO, komuniti dan sebagainya,” ujarnya.
Menurut Fadhlina, Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN cuba untuk mewujudkan ekosistem yang lebih sesuai buat masyarakat.
Namun peranan kerajaan melalui JKM adalah yang paling penting bagi memastikan rakyat terbanyak tidak mengalami tekanan mental sehingga merosakkan sistem kemasyarakatan atau berlakunya tindakan jenayah.