Tindakan mengadakan pilihan
raya tahun ini termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika wabak COVID-19 masih
berleluasa adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan hanya mengundang bahaya
kepada nyawa rakyat, kata Naib Presiden KEADILAN, Dr Michael Teo Yu Keng.
Beliau amat khuatir dengan
pengumuman berulang kali daripada kerajaan negeri Sarawak yang berhasrat untuk
mengadakan PRN dalam waktu terdekat.
"Ini jelas sekali
merupakan langkah yang membahayakan kesejahteraan ribuan nyawa rakyat Sarawak,
termasuk yang muda, yang berisiko tinggi dan warga tua.
"Berikutan PRN Sabah,
negara kita sekali lagi mengalami peningkatan jumlah kes COVID-19 serta
kematian.
"Langkah kerajaan negeri
Sarawak ingin mengadakan pilihanraya pada waktu ini tidak masuk akal dan membahayakan
kesejahteraan serta nyawa ribuan rakyat Sarawak serta pekerja awam suruhanjaya
pilihanraya, guru-guru yang akan bertugas di pusat pilihanraya serta petugas
barisan hadapan doktor dan jururawat," katanya.
Dr Michael yang juga Ahli
Parlimen Miri turut menggesa kerajaan supaya sedar terhadap kesan buruk yang
akan menimpa rakyat dan negara jika pilihan raya tetap diadakan.
"Selepas PRN Sabah, kita
telah lihat bahawa ahli politik dan jentera pilihanraya mempunyai kemampuan
untuk menjadi penyebar utama wabak COVID-19 (super spreader).
"Hati saya sangat sedih
melihat katil Intensive Care Unit (ICU) di Sabah mencapai kapasiti lebih
daripada 75% dengan ramai pesakit tenat dan doktor serta jururawat terpaksa
bekerja sepanjang masa berusaha untuk merawat pesakit malang ini.
"Akibat tidak cukup
jururawat dan pakar kesihatan di Sabah, ramai pekerja barisan hadapan dari
Sarawak dan Semenanjung terpaksa ke Sabah untuk membantu sehingga beberapa
petugas ICU dan kakitangan perubatan dijangkiti virus COVID-19.
"Ini merupakan pengorbanan
yang sangat besar bagi pihak profesional tersebut dan keluarga mereka,"
katanya.
Pada masa sama, Dr Michael
berpandangan bahawa kerajaan Sarawak harus memastikan mereka memiliki
peruntukan yang mencukupi dan mampu menangani kenaikan kes yang tidak dijangka,
bukan menumpukan kepada pilihan raya semata-mata.
"Ini merangkumi memastikan
bekalan kit ujian diagnostik pantas(agar setiap orang yang memerlukan ujian
memperoleh ujian dengan cepat di tempat rawatan), PPE untuk melindungi pekerja
kesihatan dan katil ICU serta ventilator unit rawatan rapi yang mencukupi di
seluruh Sarawak termasuk kakitangan terlatih untuk mengurus sebarang kenaikan
kes.
"Mengadakan pilihan raya
negeri di Sarawak umpama menjemput risiko yang sama di Sarawak.
"Sistem perubatan yang
terabai di Sabah dan Sarawak bermaksud kedua-dua negeri tidak berkemampuan
menjaga ramai pesakit ICU sekiranya berlaku lonjakan besar dalam kes-kes
kritikal COVID-19.
"Kerajaan Negeri Sarawak
tidak wajar mengadakan pilihan raya sehingga pandemik COVID-19 terkawal,"
katanya.
Dr Michael juga berpendapat dana
pilihan raya yang memakan ratusan juta ringgit itu lebih baik digunakan untuk
menaik taraf sektor kesihatan bagi menangani COVID-19.
"Pilihan raya Sabah
baru-baru ini menelan belanja pembayar cukai beratus juta ringgit.
"Dana ini sebaiknya
dibelanjakan untuk membeli kit ujian diagnostik pantas, ventilator, menaik
taraf hospital dan memberikan sokongan kebajikan bantuan COVID-19 untuk warga
B40 dan M40 di negara kita yang menderita akibat kemerosotan ekonomi global
terutamanya rakyat Sabah dan Sarawak," katanya.