Warisan mesti menang besar sekat PRU 15 hujung tahun
Pilihan raya negeri Sabah akan menjadi indikator sama ada parlimen akan dibubarkan atau tidak hujung tahun ini
Menurut ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, Warisan Plus harus memastikan kemenangan besar menjadi milik mereka pada 26 September ini. Sekiranya PN Plus menang atau Warisan Plus menang tipis maka isyarat itu akan digunakan sebagai penerimaan rakyat kepada kerajaan memerintah dan parlimen akan dibubarkan.
“Pada pandangan saya, keputusan PRN Sabah akan menentukan samada PRU15 diadakan pada tahun ini ataupun tidak,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
“Untuk menyekat PRU15 diadakan sebelum hujung tahun ini, parti Warisan di bawah pimpinan Shafie Apdal mestilah menang besar.
“BN (Barisan Nasional) bertanding 41 kerusi sementara PN (Perikatan Nasional) pula 29, memberikan jumlah 70 kerusi dari jumlah besar 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
“Ini membuktikan BN dan PN berhasrat untuk menang besar supaya dapat keyakinan untuk membubarkan Parlimen sejurus selepas tarikh mengundi PRN Sabah pada 26 September 2020 nanti,” katanya.
Menurut Nizar lagi, Warisan bertanding 53 kerusi dalam PRN manakala PKR 7 kerusi. Mereka perlu menang sekurang-kurangnya 50 kerusi iaitu 2/3 kuasa DUN Sabah. Maka dengan itu, Kerajaan Negeri Sabah akan stabil dan kukuh.
Selain itu, Nizar juga memberitahu bahawa ekonomi negara masih belum pulih dengan sempurnanya dan ramai yang menganggur sudah menjadi pemandu e-hailing supaya dapat memperolehi pendapatan.
“Walaupun ekonomi negara belum lagi pulih sepenuhnya, BN dan PN akan cenderung untuk PRU15 diadakan secepat mungkin kerana situasi ekonomi, kewangan dan politik negara masih berada dalam kawalan mereka.
“Amat sukar untuk meramalkan keadaan ekonomi sedunia pada tahun hadapan. Keadaan ekonomi boleh bertambah baik ataupun bertambah teruk memandangkan wabak Covid-19 belum reda dan gelombang ketiga mungkin akan timbul semula pada musim sejuk (bulan November, Disember dan Januari) nanti.
“Oleh itu, kita dalam koalisi Pakatan Harapan patut bersiap-sedia untuk PRU15 kalau Warisan-PH menang tipis dalam PRN Sabah,” tegas Nizar.