Ketetapan
demi ketetapan yang diambil dalam Muktamar Pas ke 66 di Pengkalan Chepa,
Kelantan baru-baru ini tidak mungkin menutup kegelisahan ahli biasa parti itu
yang melihat ada sesuatu yang tidak kena dalam langkah politik Pas menyertai
Perikatan Nasional (PN).
Tidak
sebagaimana layanan baik yang diberi DAP kepada parti itu ketika mereka
berkerjasama, pemimpin PN dan BN lebih senang meminggirkan terus Pas daripada
memberi parti itu peluang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pas yang
masuk ke Sabah sejak 1986 dan tidak pernah tidak bertanding, dinafikan walau
satu kerusi pun dalam PRN 2020.
Bagi
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, tragedi di
Sabah sewajarnya memberi pengajaran kepada pemimpin Pas agar bersedia
menghadapi situasi yang lebih buruk.
Jika
pemimpin Pas masih leka dengan habuan politik, katanya, maka Pas akan menerima
padah. Malah kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah pun akan dicerobohi oleh
PN dan BN.
"Apa
yang berlaku di Sabah membuktikan Pas ini tak berubah dalam 50 tahun. Pas mudah
terpengaruh sejak zaman Tun Razak (masuk kerajaan BN-Pas, 1971 -1978)
sehinggalah zaman pemerintahan anaknya, Najib (Razak), Pas tak sedar mereka
mudah terikut.
"Nak
gunakan Pas bukan mudah. Tetapi kalau kena cara dengan taburan wang, jawatan
dalam GLC sehingga mereka terasa terhutang budi sampailah membawa kepada sekarang,
makin teruk Pas dicucuk hidung.
"Selama
pilihan raya kecil sebelum ini Pas tidak diberi tempat sampailah dalam PRN
Sabah. Mereka hanya digunakan untuk menunjukkan berlaku penyatuan Melayu, agama
Islam.
"Kita
tengok parti sekecil Amanah dan parti kecil lain pun diberi tempat tetapi bukan
pada Pas," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Oleh itu,
kepada penyokong Pas, Azan menasihatkan agar tidak lagi terpedaya dengan
laungan perjuangan Islam
Perjuangan
Pas yang mahu menegakkan Islam di Sabah dan mengekang pengaruh Kristian yang
dibawa oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) suatu ketika dahulu telah kendur dan
tidak lagi berbekas kepada pemimpin utamanya sehingga sanggup menyerahkan
kerusi tradisi mereka kepada MCA dan PBS.
"Sabah
ini suatu testimoni menilai sikap pemimpin Pas yang dilihat kendur atau
"menyerah diri" dan tak boleh berbuat apa-apa lagi di Sabah walaupun
ramai orang Melayu di sana.
"Kita
nampak kedudukan Melayu yang dibawa Pas dipersendakan, RUU 355 pun tidak ke
mana. Semua yang datang dari Pas mereka sanggup ketepikan isu itu walaupun
berpuluh tahun dibawa dan diperjuangkan," katanya.
Menurut
Azan lagi, rakyat Malaysia seharusnya berhenti mempercayai Pas sebagai pembela
Islam sebagai mana pada era Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dan Ustaz Fadzil Noor
yang tegas menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan.