ADAKAH BN DAN PN AKAN SALING SABOTAJ UNTUK MEREBUT JAWATAN KETUA MENTERI

 

Perebutan jawatan Ketua Menteri Sabah antara BN dan PN secara umumnya masih lagi merupakan isu yang umpama “api dalam sekam” antara kedua-dua gabungan tersebut.

Muhyiddin Yassin pada hari penamaan calon baru-baru ini telah menamakan Hajiji Noor sebagai bakal Ketua Menteri Sabah.

Walaupun kenyataan Perdana Menteri itu dikritik dan dikecam oleh beberapa pemimpin UMNO, termasuk Presiden UMNO, Zahid Hamidi, beliau setakat ini tidak pernah menarik balik pencalonan Hajiji itu.

Ini bermakna, dalam hati Muhyiddin, beliau tetap mahukan Pengerusi Bersatu Sabah itu sebagai Ketua Menteri sekiranya Gabungan Rakyat Sabah berjaya memenangi PRN 26 September depan.

Di pihak BN, memandangkan autonomi telah diberikan kepada UMNO untuk memutuskan calon Ketua Menteri, maka sudah barang tentu Pengerusi BN dan UMNO Sabah, Bung Mokhtar Radin adalah calon utamanya.

Presiden UMNO, Zahid Hamidi juga dikatakan setuju dengan pencalonan Bung Mokhtar sebagai Ketua Menteri Sabah itu.

Mengukuhkan lagi kedudukan Bung Mokhtar ialah berikutan beliau dengan bergaya telah berjaya mengenepikan Musa Aman dan Abdul Rahman Dahlan, dua pesaingnya untuk jawatan Ketua Menteri daripada diturunkan sebagai calon BN.

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak dalam rakaman video yang tersebar di media sosial menyebut, siapa yang yang harus menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah mestilah dipilih daripada kalangan Adun yang mendapat sokongan majoriti Adun Sabah sendiri.

Katanya, itulah kehendak perlembagaan berkaitan pemilihan Ketua Menteri.

Berdasarkan itu, maknanya antara BN dan PN, siapa yang paling banyak menang kerusi adalah lebih berpotensi untuk menjadi Ketua Menteri.

Dalam PRN Sabah kali ini, BN bertanding sebanyak 41 kerusi, manakala PN cuma 29 kerusi saja daripada 73 keseluruhan kerusi yang ada dalam Dun Sabah.

Dari segi logiknya, ini memperlihatkan peluang BN untuk mengisi jawatan Ketua Menteri adalah lebih cerah berbanding PN.

PN, walau jika ditakdirkan menang semua 29 kerusi sekali pun, mereka tetap tidak cukup majoriti untuk menuntut jawatan Ketua Menteri.

Dengan perebutan yang masih terbuka itu, apakah mungkin antara BN dan PN, mereka akan saling mensabotaj sesama sendiri bagi memastikan masing-masing memenangi jumlah kerusi yang lebih banyak, seterusnya lebih berpeluang meraih jawatan Ketua Menteri?

Ini kerana, meski PN dan BN adalah ahli dalam Gabungan Rakyat Sabah bersama PBS yang mempunyai matlamat menumbangkan Warisan, sudah tentu siapa yang memiliki jumlah kerusi lebih banyak dalam gabungan itu mempunyai peluang lebih tinggi untuk disokong sebagai Ketua Menteri.

Atau mungkinkah juga cubaan memastikan Hajiji dan Bung Mokhtar kalah turut merupakan perkiraan utama sesama BN dan PN?

Dalam perkembangan lain, Pas yang tidak diperuntukkan kerusi dalam PRN Sabah ini turut mengumumkan akan melancarkan jentera partinya sendiri yang melibatkan kira-kira 2,000 anggota.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau sendiri akan ke Sabah hari ini untuk melancarkan jentera parti itu.

“Saya akan pergi ke Sabah untuk melancarkan jentera PAS bagi membantu rakan-rakan PN bagi memastikan kerusi yang ditandingi dapat dimenangi,” katanya lagi.

Persoalan di sini, kenapa Pas hanya umum nak bantu PN saja?

Adakah Pas tidak akan membantu BN yang mana UMNO adalah rakan kongsinya dalam Muafakat Nasional?

Apakah ini bermakna Pas lebih menyokong Hajiji berbanding Bung Mokhtar untuk jadi Ketua Menteri menggantikan Shafie Apdal? (Shahbudindotcom 15/09/2020)