Kenyataan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa bahawa Sabah tidak akan mampu membangun
tanpa bantuan kerajaan persekutuan dianggap sebagai satu penghinaan kepada
penduduk negeri itu.
Ahli Parlimen Kota Belud,
Isnaraissah Munirah Majlis berkata kenyataan Muhyiddin itu seolah-olah
menunjukkan bahawa beliau langsung tidak memahami kehendak rakyat Sabah ketika
ini.
“Muhyiddin datang ke negeri ini
sempena Hari Kemerdekaan dan beliau sepatutnya membawa erti kata ‘merdeka’ yang
sebenar di mana kita bebas untuk menentukan hala tuju dan pembangunan negeri
ini tanpa belenggu parti-parti politik yang mentadbir kerajaan pusat.
“Sekiranya beliau benar-benar
ikhlas dan memahami perjuangan rakyat Sabah selama ini, maka dia sepatutnya
beritahu kita bahawa sudah tiba masanya Sabah mendapat kembali hak-hak mereka
sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutamanya
dari segi pengagihan peruntukan yang sama rata antara Sabah, Sarawak dan
Semenanjung Malaysia.
"Tetapi amat
mendukacitakan apabila dia telah mengatakan kepada kita semua bahawa Sabah
perlukan bantuan dan belas kasihan kerajaan persekutuan untuk pembangunan dan
ini mengambarkan bahawa negeri ini sebenarnya tidak merdeka.
"Kembalikan hak-hak Sabah
dan agihkan peruntukan secara adil, kita sudah pasti mampu membangunkan negeri
ini tanpa bantuan dari Persekutuan,” katanya seperti dilaporkan oleh Sabah News
Today.
Munirah yang juga Ketua
Wirawati Warisan memberikan contoh bagaimana penubuhan beberapa parti politik
Sabah sejak merdeka menunjukkan bahawa rakyat Sabah mahu mentadbir negerinya
sendiri.
“Pada awal 1960an, kaum Bajau
dan Kadazandusun Murut telah memainkan peranan yang amat besar dalam sejarah
pembentukan Persekutuan Malaysia dan ketika itu, kita tidak pernah memikirkan
untuk menyerahkan maruah serta hak-hak kita kepada parti-parti yang menguasai
kerajan pusat seperti Umno.
"Sekiranya
pemimpin-pemimpin Sabah seperti Tun Mustapha dan Tun Fuad Stephens memikirkan
bahawa pembangunan negeri ini akan hanya dicapai dengan menyokong atau mengundi
Umno, maka tidak perlulah mereka menubuhkan parti sendiri seperti Unko dan
Usno.
“Ini yang perlu disedari, kita
harus mempertahankan maruah dan hak-hak Sabah bersama-sama dengan etnik yang
lain dibawah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Kita membentuk Persekutuan
Malaysia bukan kerana kita mahu dikongkong tetapi untuk menjamin keselamatan
dan pembangunan negeri ini,” katanya.