PH kesal pindaan hadkan tempoh pegang jawatan PM ditarik balik








Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) meluahkan rasa kekesalan apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertindak menarik balik pindaan Perlembagaan bagi menghadkan tempoh menjawat jawatan Perdana Menteri selama dua penggal, tanpa sebarang alasan.

Dalam kenyataan bersama antara Fahmi Fadzil (KEADILAN), Khalid Samad (AMANAH) dan Liew Chin Tong (DAP), mereka berpandangan bahawa pindaan itu adalah sebagai satu peluang keemasan untuk melaksana reformasi yang amat bermakna di negara ini, namun telah disia-siakan dan dibuang begitu sahaja oleh PN.

"Antara tujuan utama PH mengusahakan pindaan ini adalah untuk memastikan seorang individu tidak memegang jawatan Perdana Menteri untuk tempoh terlalu lama yang memungkinkan dia boleh mengambil kesempatan ke atas kedudukan tersebut selama memegang jawatan itu, termasuk menutup penyelewengan yang dilakukannya.

"Secara tidak langsung, pindaan tersebut diharap akan dapat memberi peluang kepada lebih ramai pimpinan politik baharu untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan menutup kemungkinan budaya pendewaan seseorang pemimpin," menurut kenyataan.

Pada masa sama, PH juga berpandangan tindakan drastik itu menunjukkan bahawa PN tidak mempunyai aspirasi tersendiri untuk memperjuangkan demokrasi di negara ini, sebaliknya hanya mahu menikmati kuasa itu dengan sesuka hati.

"Sikap ‘pusingan U’ ini membuktikan bahawa kerajaan hari ini tiada ‘falsafah perjuangan’ dan hanya berminat memegang kuasa, dan tidak mempunyai wawasan atau visi yang lebih besar untuk memastikan demokrasi sentiasa subur di bumi Malaysia," katanya.