Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim menyokong penuh pelantikan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh
sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Beliau berkata ia sebagai
kesinambungan kepada tradisi yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Kita mengemukakan supaya
Ipoh Timur dilantik sebagai pengerusi PAC, dan saya berterima kasih kepada
Perdana Menteri kerana menerima usul dari PH.
"Ini supaya kita dapat
kekalkan tradisi pembangkang menjadi pengerusi PAC.
"Saya percaya Ipoh Timur
dapat menjalankan tugas secara profesional untuk memastikan kira kira dan akaun
wang negara dibuat dengan telus dan bertanggungjawab," katanya di Dewan Rakyat.
Ini bermakna, Wong menggantikan
Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad manakala Ahli Parlimen
Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, dilantik sebagai Naib Pengerusi PAC.
Pada masa sama, Ahli Parlimen
Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon mencadangkan supaya mengadakan siaran langsung
untuk prosiding PAC sama seperti Dewan Rakyat, Dewan Negara dan sidang Kamar
Khas.
"Saya bercadang kepada
Datuk Yang Di-pertua supaya prosiding PAC dapat dibuat secara terbuka supaya
rakyat tahu apa yang berlaku dalam prosiding itu, ini permintaan saya sebagai
bekas ahli PAC," katanya.