Walaupun bersumpah dengan nama Allah di Mahkamah bahawa beliau tidak bersalah, Datuk Seri Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah dalam tujuh pertuduhan membabit penyelewangan wang RM42 juta milik SRC International.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar rayuan dari Najib dan peguamnya serta pandangan balas dari pihak pendakwa.
Ketika memohon agar hukuman ringan dijatuhkan ke atas beliau, Najib bersumpah dengan nama Allah “Wabillahi watallahi, saya tidak pernah menuntut wang 42 juta itu.”
“Tidak ada sesiapa yang menawarkannya kepada saya.
“Saya tidak tahu menahu tentang wang 42 juta itu,” kata Najib di mahkamah sebelum Hakim Nazlan menjatuhkan hukumannya.
Najib kemudiannya dibenarkan menangguhkan hukuman penjara itu dan juga denda.
Namun begitu jaminan beliau ditambah RM1 juta lagi menjadi RM2 juta dengan dua orang penjamin.