Umno mahu jatuhkan Muhyiddin?
Keadaan politik Malaysia semakin tidak stabil apabila terdapat ura-ura Umno mahu menjatuhkan PM Muhyididn Yassin
Baru-baru ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat bahawa parti berkenaan telah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), A Kadir Jasin mempersoalkan kesediaan Umno itu yang boleh membawa maksud parti dipimpin Ahmad Zahid itu merancang mencetuskan pilihan raya lebih awal.
“Adakah U,mo, Barisan Nasional (BN) sudah bersedia menjatuhkan kerajaan Melayu-Islam Perikatan Nasional pimpinan (Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin bagi memaksa PRU15 diadakan lebih awal?
“Bubarkan Parlimen dan adakan pilihan raya umum lebih awal adalah mantera Umno. Atau adakah kedua-dua mereka hendak membayangkan dan meyakinkan penyokong bahawa mereka akan lepas kes jenayah di mahkamah?,” kata Kadir di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, kesediaan Presiden Umno itu dinyatakan selepas Ahmad Zahid menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya malam tadi berdasarkan gambar dimuat naik di Facebook Ahmad Zahid hari ini.
Mengulas lanjut, A Kadir memberi gambaran sekiranya PRU15 diadakan lebih awal, Umno dan BN tidak rugi apa-apa.
“Mereka kalah PRU14 tapi Muhyiddin pungut mereka dari pinggiran politik dan anugerahkan mereka jawatan menteri, menteri besar dan GLC. Muhyiddin memberi mereka kuasa eksekutif dan sekali gus mengiktiraf Muafakat Nasional UMNO-Pas.
“Dengan kekuatan jawatan menteri, menteri besar dan GLC yang Muhyiddin berikan itu, Umno dan Pas kini mempunyai kekuatan menentukan kekal atau jatuh kerajaan Perikatan Nasional,” kata A Kadir lagi.