PN bela Melayu, kenapa duit raya peneroka Felda RM300 sahaja?
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan pembela nombor satu kaum Melayu tidak berjaya meringankan beban peneroka Felda yang rata-rata terdiri daripada orang Melayu apabila memberi duit raya RM300 pada Aidilfitri tahun ini.
Bagi Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Datuk Mazlan Aliman, pemberian duit raya dalam jumlah kecil dilihat tidak munasabah kerana golongan itu kini terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi ekoran wabak Covid-19.
Menurutnya lagi, kerajaan PN wajar memberi pelbagai insentif lain sekiranya mereka tidak mahu memanjakan peneroka dengan duit raya.
“Amalan beri duit raya ini (sejak sekian lama) adalah insentif daripada pengeluaran hasil sawit dan getah sebagai rangsangan untuk menghargai peneroka.
“Kalau dari sudut angka RM300 itu tidak berbaloi di saat peneroka menghadapi situasi Covid-19, tambahan pula sebahagian besar pokok sawit adalah pokok tua (kurang buah) dan pendapatan mereka jadi tidak seberapa.
“Pinjaman penanaman semula (tanam pokok baharu) kepada peneroka sekitar RM1200 hingga RM1500 sebulan pula tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup. Oleh kerana 95 peratus peneroka adalah orang Melayu jadi mereka ini wajib dibela oleh kerajaan PN,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Selain itu, Mazlan menyatakan banyak isu Felda yang masih belum selesai ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) digulingkan. Misalnya, pembentangan kertas putih telah dilakukan namun belum ada maklum balas mengenai laporan berkenaan.
“Masa PH ambil alih kerajaan kertas putih dibentangkan, saya juga pernah dijemput oleh Mustapa Mohamed bincang pasal Felda dan insentif-insentif bagi peneroka Felda. Dalam pertemuan itu juga saya tidak dapat jawabapan maklum balas mengenai laporan kertas putih.
“Saya mengharapkan isunya bukan sekadar duit raya, tetapi isu pokok bagaimana kita nak dapat sejumlah pendapatan yang munasabah kepada peneroka sesuai dengan keluasan tanah 10 ekar itu.
“Pada waktu ini 70 peratus peneroka asal sudah meninggal dunia. Yang ada adalah anak peneroka, sama ada generasi kedua dan ketiga. Tetapi kita juga kena ingat mereka ini berdepan dengan penguncupan kewangan.
“Peneroka hadapi kos hidup tinggi dan tak punya pendapatan yang munasabah. Jadi ia memberi kesan kepada kelangsungan hidup mereka. Isu ini kita sudah lontar dan harap ada kebertanggungjawaban kerajaan terhadap peneroka,” kata Mazlan lagi.
Untuk rekod, Felda diletak di bawah Menteri Ekonomi Azmin Ali sewaktu pentadbiran PH. Kegagalan Azmin dalam menyelesaikan masalah peneroka ketika itu tidak wajar dibebankan ke atas bahu PH kerana wakil-wakil peneroka gagal dijemput oleh Kementerian Ekonomi untuk menyelesaikan masalah secara komprehensif.
Sebaliknya fokus Kementerian Ekonomi lebih kepada pemulihan aset, saham dan kewangan korporat Felda. Hanya kerajaan PH yang betul-betul membawa agenda Reformasi sahaja dijangka mampu menyelesaikan masalah peneroka yang berdekad-dekad lamanya.