Lantikan politik: Jangan ulang era Isa Samad di Felda – Mazlan
Lantikan politik ke atas Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengerusi Felda yang baharu oleh Kerajaan Perikatan Nasional berkuatkuasa 1 Mei lalu mungkin mengulangi kelemahan Isa Samad ketika era kerajaan BN.
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Datuk Mazlan Aliman berkata, lantikan politik sebagai pengerusi tidak mungkin menyelesaikan masalah peneroka Felda, bahkan sekadar memenuhi kuota jawatan semata-mata.
“Komen awal saya mengenai Idris Jusoh ini, kita tidak tahu sejauh mana keupayaan beliau untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Felda.
“Tetapi bacaan saya berdasarkan rekod pengerusi-pengerusi sebelum ini, mereka tidak memulihkan keadaan kritikal peneroka terutama jumlah hutang yang tinggi serta tidak wajar.
“Kita tidak tahu asas-asas kriteria yang diambil kira (dalam melantik pengerusi). Cuma saya nampak ia sekadar memenuhi kuota untuk mengisi kekosongan sahaja.
“Felda adalah institusi luar bandar yang didiami 95 peratus orang Melayu, saya tidak nampak keupayaan Idris untuk mengelola Felda dengan baik. Kembimbangan saya mungkin pengerusi ini akan mengulangi kesilapan bekas-bekas pengerusi Felda yang lalu,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Di samping itu, Mazlan menjelaskan peneroka Felda yang mengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) lalu sangat kecewa kerana masalah mereka masih tidak diatasi sehingga pentadbiran PH jatuh kepada PN melalui ‘pintu belakang’.
“Kita mendapat mandat rakyat terutama dari peneroka Felda. Menjadi komitmen kita untuk selesaikan masalah hutang tidak wajar mereka kerana ia termaktub dalam manifesto PH.
“Masalah Felda adalah berpunca dari penyelewengan. Saya juga tekankan kita kena tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas untuk siasat. Juga anak-anak muda Felda perlu jadi akuantan bertauliah, tetapi tidak sempat kita lakukan itu kerajaan telah beralih tangan.
“Keadaan ini sangat mengecewakan peneroka dan jika kita tidak bertindak, kekecewaan ini akan berterusan,” ulas Mazlan lagi.
Katanya, sekiranya PH menang PRU akan datang atau mengambil alih semula kerajaan dalam tempoh sebelum itu, beberapa pindaan perlu dibuat dari segi undang-undang yang mengikat serta menyukarkan kehidupan peneroka selama ini.
“Jika kita mendapat mandat rakyat saya gesa pinda akta GSA yang mengikat peneroka dibuat. Pinda akta ikut faktor zaman dan buat perjanjian baru dengan peneroka,” katanya.
Untuk rekod, masalah potongan hasil sawit yang dijual peneroka ke kilang Felda masih tidak diselesaikan ketika agensi itu diletakkan di bawah Kementerian Ekonomi. Begitu juga hutang pinjaman tanam semula yang mencecah ratusan ribu ringgit dan sukar dibayar balik. Termasuk masalah hutang tidak dikemaskini atau diberi penyata bulanan yang menimbulkan kemarahan peneroka ke atas kerajaan BN sebelum ini.