‪Implikasi Jika Usul Undi Tidak Percaya Efektif‬

Oleh : Abd Malek Hussin



‪Usul Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diterima untuk dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020.‬

‪Berbagai negara demokrasi berparlimen pernah mengalami usul undi tidak percaya. Ada negara kerajaan tumbang dengan usul spesifik Usul Undi Tidak Percaya, dan ada yang tumbang kerana Belanjawan ditolak dalam pengundian Parlimen. Kebanyakannya mengadakan pilihanraya umum baru selepas itu bagi membentuk kerajaan yang baru.‬

‪Di Australia, Kerajaan minoriti PM Arthur Fadden letak jawatan setelah Belanjawan ditolak oleh Parlimen pada Oktober 1941.‬

‪Canada kali terakhir mengalami undi tidak percaya pada 25 Mac 2011. PM Stephen Harper letak jawatan apabila diundi 156-145 menolak kepimpinannya.‬

‪PM Atal Bihari Vajpayee letak jawatan apabila kalah dengan majoriti 1 undi (269-270) dalam undi tidak percaya Parlimen India pada April 1999.‬

‪PM UK, James Callaghan letak jawatan apabila dikalahkan dalam undi tidak percaya dengan majoriti 1 undi (311-310) dalam House of Commons pada 28 Mac 1979.‬

‪Parlimen Malaysia belum pernah meluluskan Usul Undi Tidak Percaya.‬

‪Apakah akan jadi jika Usul Undi Tidak Percaya terhadap PM Muhyiddin Yassin diluluskan pada 18 Mei 2020?‬

‪Pertamanya, Muhyiddin kena meletakkan jawatan Jemaah Menteri. Ini selaras dengan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.‬

‪PM mempunyai pilihan untuk meminta Yang Di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.‬

‪Dalam situasi demikian, terserah kepada Agong untuk memutuskannya. Menurut Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan, Agong boleh bertindak menurut budibicaranya tidak mempersetujui permintaan membubar Parlimen. ‬

‪Jika Agong mempersetujui membubarkan Parlimen, maka suatu pilihanraya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu, dan Parlimen hendaklah dipanggil bersidang dalam tempoh 120 hari dari tarikh pembubarannya, sepertimana menurut Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan.‬

‪Jika Agong tidak mempersetujui membubarkan Parlimen, Agong perlu menjalankan fungsinya menurut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan bagi melantik Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.‬

‪Agong boleh melantik sebagai Perdana Menteri seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.‬

‪Aku cenderung berpendapat bahawa:‬

‪◾️Parlimen lebih wajar dibubarkan jika Usul Undi Tidak Percaya diluluskan kerana dalam senario politik terkini, tiada parti atau gabungan parti-parti boleh mendabik dada mempunyai majoriti mutlak yang stabil.‬

‪◾️Dengan mengambil kira wabak COVID-19 kini, pilihanraya umum boleh diadakan dalam tempoh paling maksimum yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan ini, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) wajar melihat contoh bagaimana Korea Selatan berjaya mengadakan pilihanraya umum Parlimen semasa penularan wabak COVID-19 pada 15 April 2020.‬

‪Sekian.‬

No comments: