Hilang Kedah, Bersatu bukan parti induk dalam PN
Oleh: A Kadir Jasin
ULASAN: Pas yang kalah kepada Pakatan Harapan di Kedah dalam PRU 2018 kembali berkuasa di negeri itu dengan izin dan ihsan Presiden Bersatu merangkap Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin.
Maka dengan itu hilanglah sebuah lagi negeri yang diterajui oleh Menteri Besar dari Bersatu. Negeri pertama yang menyingkirkan MB Bersatu adalah Johor, negeri Muhyiddin sendiri.
Dengan penyingkiran Mukhriz Mahathir di Kedah itu maka makin jelaslah bahawa Muhyiddin telah memungkiri janji kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 23 Februari lalu untuk menjadikan Bersatu parti induk Perikatan Nasional (PN).
Dalam mesyuarat itu, Muhyiddin berjanji, “…keluar daripada PH dan berpindah kepada campuran tetapi masih dalam kerajaan…dipimpin oleh Bersatu.”
Kalau ketika pemerintahan PH, Menteri Besar dan Exco Bersatu dihormati dan berpengaruh, hari ini mereka tidak lebih daripada melukut di tepi gantang dibuli oleh Umno. Tengok sajalah apa yang berlaku di Perak dan Melaka. Perwakilan Bersatu hanyalah untuk ambil syarat saja.
Selepas dua bulan setengah menumbangkan kerajaan PH melalui proses yang tidak demokratik, apa tinggal daripada Bersatu hanyalah Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Yang berkuasa dan menentukan agenda serta naratif kerajaan dan mengusai saluran komunikasi adalah panglima-panglima perang Umno dengan sekutu mereka dalam Muafakat Nasional iaitu Pas.
Kesimpulannya, manakala Muhyiddin berjaya memenuhi cita-cita terpendamnya untuk menjadi Perdana Menteri, Mohamed Azmin Ali berjaya menyekat Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri dan Hamzah Zainuddin berjaya menjadi “kingmaker”, Bersatu menjadi pemain biola nombor tiga dalam kerajaan PN yang tidak pun diiktiraf oleh Umno dan Pas.