SEMUA INI SALAH MUHYIDDIN, MASIH MENIRU CARA MAHATHIR MANJAKAN AZMIN



Kritikan orang lama UMNO, Shahrir Samad terhadap karektor dan cara kerja Azmin Ali yang mengemudi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau MITI, sambil dalam waktu yang sama beliau turut dianugerahkan jawatan menteri kanan, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan sebenarnya.

Sejak awal lagi keberadaan beliau sebagai menteri kanan memang tidak disenangi UMNO, apatah lagi apabila Muhyiddin Yassin memaklumkan Azmin akan mempengerusikan mesyuarat kabinet sewaktu ketiadaannya.

UMNO yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak dalam kerajaan tebuk atap PN ini merasakan kouta nombor dua dalam kerajaan lebih wajar diberikan kepada mereka berbanding Azmin.

Sebab itu, UMNO langsung tidak meraikan kehadiran Azmin, malah jika beliau melakukan kesilapan, pihak sebelah UMNOlah yang ternampak ghairah menyerang dan melekehkannya.

Isu kedai gunting rambut dan kebenaran tiga sektor ekonomi meneruskan perniagaan sepanjang tempoh PKP yang melibatkan MITI membuat pengumuman dengan jelas menampakkan bagaimana pemimpin UMNO dan pemain media sosial pro parti itu yang agak ke depan membelasah Azmin.

Kritikan Shahrir barangkali yang paling keras setakat ini daripada UMNO terhadap Azmin sehingga MITI sekarang diumpamakannya sebagai “super ministry” dalam kerajaan PN yang membolehkan kementerian itu campurtangan dalam hal ehwal kementerian lain.

Malah Shahrir juga membangkitkan rasa leganya kerana bukan Azmin, sebaliknya seorang lagi menteri kanan, Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO yang muncul setiap hari memberi sidang media berkaitan kluster keselamatan sepanjang tempoh PKP ini dikuatkuasakan.

Begitu pun, walau kritikan Shahrir diakui ada benarnya, siapakah yang patut dipersalahkan dalam hal ini?

Secara jujur, sementara Azmin harus diakui masih junior untuk mengendali sebuah kementerian penting seperti MITI yang sewaktu PKP ini semacam diberi tanggungjawab dalam banyak soal besar yang lain, apalagi sebagai menteri kanan yang layak untuk mempengerusikan kabinet sewaktu ketiadaan Perdana Menteri, kesalahan yang sebenar adalah terletak pada Muhyiddin.

Muhyiddin tidak sepatutnya melantik Azmin sebagai menteri kanan yang dalam masa sama diberi keistimewaan mempengerusikan mesyuarat kabinet sewaktu ketiadaannya, sebaliknya kedudukan itu lebih sesuai diberikan kepada UMNO.

Berbanding UMNO yang menyumbang 39 kerusi dalam PN, kumpulan Azmin daripada bekas PKR hanyalah berjumlah 10 Ahli Parlimen saja.

Sudahlah begitu, keahlian bekas Timbalan Presiden PKR itu dalam Bersatu juga masih tidak jelas di mana walaupun Azmin dan kumpulannya diumumkan menyertai parti itu tidak lama selepas beliau dipecat daripada PKR, tetapi bilakah Bersatu pernah bermesyuarat membincangkan kemasukan mereka?

Selain itu, nama Azmin yang sudah sedia tercemar dengan isu “video Haziq” menjadikan apa juga yang dilakukannya, lebih-lebih jika melakukan kesilapan, lebih mudah dipandang serong, diragui dan tidak dipercayai.

Untuk itu, faktor masih junior, hanya mewakili kelompok minoriti, keahlian yang tidak jelas dalam Bersatu dan nama yang sudah tercemar, maka sewajarnya Azmin hanya diberi tanggungjawab menjaga kementerian yang biasa-biasa saja, jauh sekali untuk diberi kedudukan yang membolehkannya berangan-angan seumpama orang nombor dua dalam kerajaan selepas Muhyiddin.

Maka, siapa lagi yang patut dipersalahkan dalam hal ini kalau bukan Muhyiddin?

Muhyiddin seharusnya mengimbas kembali tindakan Tun Mahathir Mohamad ketika era PH yang melantik Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, seterusnya memanjakan beliau seolah-olah anak emas dalam kabinet, walau dianya hanya berpengalaman sebagai Menteri Besar Selangor sekitar tiga tahun saja.

Tetapi, akhirnya Tun Mahathir sendiri pun sanggup dikhianatinya sehingga bekas Perdana Menteri ada menyebut kepada beberapa orang yang menemuinya bahawa Azmin adalah antara orang yang paling membuatkannya berasa sedih dan kecewa.

Mengapakah Muhyiddin tidak mengambil iktibar daripada semua yang berlaku kepada Tun Mahathir itu, malah terus meniru dan memanjakan lagi Azmin selepas beliau menjadi Perdana Menteri?

Masih tidak sedarkah Muhyiddin, sepertimana ketika era Tun Mahathir juga, sebahagian punca masalah dan kemerosotan sokongan kepada kerajaan sekarang adalah berpunca daripada Azmin?

Adakah sepertimana Tun Mahathir menggunakan Azmin untuk meremehkan Anwar, Muhyiddin juga sedang mempergunakan Azmin untuk memperlekehkan UMNO? (ShahbudinHusin 16/04/2020)