Quo vadis Azmin Ali?








“Azmin ini party loyalist,” ujar seorang teman, antara ramai lagi teman yang mengulang kenyataan yang serupa.

“Hang gila ka dia nak keluar parti?” soalnya kemudian, menegaskan bahawa Azmin sudah jadi orang nombor dua dalam PKR. Mana mungkin beliau mencabar Anwar Ibrahim; batang tubuh yang menjadi roh dan jasad parti itu.

Hari ini, 23 April, genap dua bulan Azmin dan rakan-rakannya membuat keputusan keluar dari parti Anwar. Pengumuman keluar mungkin dibuat pada 24 Februari, tetapi sambil makan malam bersama Umno dan PAS di Sheraton itu, keputusannya pasti sudah dicapai.

Menariknya, rakan-rakan Azmin ini bukan cicak mengkarung dalam rangkaian Anwar. Seperti juga Azmin, si “pemegang diari merah” mantan timbalan perdana menteri, gerombolan yang mengikut beliau meninggalkan parti juga boleh tahan “Anwarist”.

Namun begitulah hakikatnya, bagaimana tiada kawan dan lawan yang kekal dalam politik. Seperti yang diulang sebut mendiang Karpal Singh. Apa yang kekal adalah prinsip. Itu pun kalau ada prinsip.

Bagi kebanyakan orang yang menyertai pergulatan politik, prinsip adalah barang kudapan cita-cita utama untuk memperoleh pengaruh dan kekuasaan. Pengaruh dan kekuasaan itu pula digunakan untuk mendapatkan duit. Dan duit itu pula digunakan untuk mendapatkan lebih banyak pengaruh dan kuasa. Inilah dia apa yang dipanggil “realpolitik”.

Realpolitik itulah yang menyebabkan kuasa tiba-tiba beralih kembali ke tangan-tangan kotor Umno dan rakan-rakannya; tanpa perlu menang sebarang pilihan raya.

Tetapi takkanlah setakat itu saja hasilnya untuk seorang Azmin?

Dalam dua wawancara saya bersama beliau, Azmin tidak pernah menyatakan sebarang keinginan untuk menjadi perdana menteri. Kali pertama, Azmin bercerita panjang tentang kisah zaman remajanya menternak kambing dan ayam; sebelum sambung belajar ke Amerika, dan pulang ke tanah air untuk bekerja dengan Anwar.

Kali kedua, wawancara setelah menjadi menteri besar Selangor. Pun tidak ada sebut mahu jadi PM. Walaupun saya tanya terus terang saja.

Meski tidak pernah menyebut dengan jelas, kita semua tahu Azmin akhirnya bukan saja tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri. Tetapi menurutnya yang paling layak mengambil alih jawatan PM itu, adalah beliau sendiri.

Sejak bertanding timbalan presiden parti pada 2010, sehinggalah bergerak mengguling Khalid Ibrahim, dan akhirnya menghalang Anwar daripada menjadi PM, itulah dia objektif utama.

Mungkin melampau kalau kita katakan Azmin melihat Muhyiddin Yassin sepertimana orang mendakwa Anwar melihat Dr Wan Azizah Wan Ismail – sebagai sekadar pemanas kerusi. Tetapi itulah hakikatnya. Kan?

Dilema Muhyiddin

Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong menulis panjang hujung minggu lalu tentang dilema Muhyiddin, pasca krisis Covid-19.

Kerajaan Muhyiddin sebenarnya ditopang dengan majoriti sekadar dua atau tiga kerusi. Ertinya di Parlimen, sebarang urusan dan usul kerajaan cenderung gagal dengan hanya kekurangan beberapa undi.

Dalam fabrik gabungan yang begitu demikian longgar; tanpa struktur parti, tanpa satu dasar bersama, tanpa titik temu yang sekata, Muhyiddin “dipegang telurnya” (maaf tiada bahasa yang lebih sesuai) oleh setiap seorang yang menyokongnya menjadi perdana menteri.

Kalau tidak puas hati, atau ada tuntutan yang tidak didengari, picit saja. Umno contohnya, beberapa hari lalu dengan selamba mengutus surat dengan senarai tuntutan untuk saki baki pimpinannya di Sabah, tanpa rasa segan silu. Muhyiddin akan harus melayan dan pastinya nanti memenuhi permintaan itu.

Ini belum dicampur masalah ekonomi dan peluang pekerjaan yang bakal merundung negara sebaik saja PKP berakhir, serta masalah sumber pendapatan negara akibat kejatuhan harga minyak dunia. Beban yang ditanggung Muhyiddin memang besar gedabak.

Tetapi kalau Azmin mahu jadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin, maka Azmin harus bertanya dirinya sendiri sama ada beliau bersedia untuk memikulnya.

Jalan menuju kerusi PM

Untuk menjadi PM, Azmin yang kini ahli parti Bersatu pastinya akan perlu terlebih dulu naik menggantikan presiden parti itu, iaitu Muhyiddin. Maka jalan yang lebih mudah pastinya dengan menubuhkan parti sendiri.

Parti itu pula mestilah membawa idea “muafakat agung”, idea perpaduan nasional yang secara ironinya kini diusung sebuah gabungan yang berpaut kepada sentimen Melayu-Islam dengan memomokkan DAP.

Seperti biasa, analisis pasaran dilakukan terlebih dulu dengan mengajukan idea ini melalui pertubuhan seperti Pemuda Negara yang menampilkan wajah pegawai-pegawai Azmin dan logo bulan bintang seperti yang turut tertera di laman Wikipedia Perikatan Nasional.

Apa yang sedikit lucu ialah bagaimana idea ini cuba dibungkus dengan menggunakan Dato’ Onn sebagai jenama besar, justeru mencetuskan cakap-cakap dalam kalangan wartawan tentang bagaimana Azmin akan menubuhkan Parti Negara, sepertimana Dato’ Onn juga.

Dato’ Onn tidak berakhir menjadi perdana menteri. Beliau hanya pernah menjadi menteri besar Johor atas lantikan Sultan, sepertimana arwah bapanya yang merupakan MB Johor pertama, serta dua adik beradiknya yang turut dilantik sebagai MB ketika demokrasi masih belum wujud di Tanah Melayu.

Jawatan itu ditinggalkannya setelah menubuhkan Umno, yang kemudiannya turut beliau tinggalkan dan selepas itu menubuhkan Parti Malaya Merdeka, sebuah parti yang ditubuhkan sebagai lawan idea ketuanan Melayu yang dijuarai Umno.

Parti Malaya Merdeka pun bungkus juga setelah dilihat tidak berjaya mendapat sokongan ramai. Parti itu hanya didekati kaum India.

Dato’ Onn akhirnya menubuhkan Parti Negara pada 1953, sebuah parti politik yang prinsipnya bertentangan langsung dengan Parti Malaya Merdeka yang ditubuhkannya sebelum itu.

Atas tiket Parti Negara inilah Dato’ Onn akhirnya berjaya menjadi Ahli Parlimen setelah menang dalam pilihan raya 1959, jauh di kerusi Kuala Terengganu Selatan. Malah ada juga yang menyebut Dato’ Onn akhirnya menyertai PAS sebelum meninggal dunia tiga tahun kemudian.
Parti Negara turut hilang bersama Dato’ Onn.

Justeru bagi Azmin, pilihan di tangan tidak begitu banyak. Ruang di depan semakin sempit. Beliau pastinya tahu Umno tidak akan begitu mudah memberi laluan, begitu juga PAS yang tidak kalah berdendam. Bersatu apatah lagi.

Maka ke mana Azmin Ali akan pergi?

Tulisan ini kali pertama disiarkan di The Malaysia Insight