Kerajaan PN tipu orang miskin?

Kerajaan PN tipu orang miskin?

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah memasuki fasa 3 sememangnya memberi kesan kepada ekonomi rakyat khususnya golongan B40. 
Rakyat sedang mendepani pelbagai kesulitan dalam kehidupan mereka. Ramai golongan berpendapatan rendah hilang punca rezeki dan kini hidup dalam kesempitan. 
Kita telah mendengar janji kerajaan Perikatan Nasional (PN) bahawa mereka akan memastikan tiada golongan yang akan dibiarkan. Tetapi, mengapa sumbangan bungkusan makanan yang dijanjikan bernilai RM100 tetapi hanya bernilai RM35? 
Menurut Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, pejabatnya menerima 150 bungkus makanan tetapi anggaran nilainya tidak sama dengan apa yang dijanjikan. 
Dalam setiap bungkusan terdapat tujuh barangan iaitu lima kilo beras, sekilo minyak masak, satu paket bihun kering, satu paket biskut teh dan kopi segera.
Apabila ditanya kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, jawapan yang diterima adalah “itulah barangan yang diterima daripada pihak atasan”. 
Disebabkan risau timbul salah faham orang awam, Kee Chin dan pasukannya terpaksa membuat penjelasan kepada penerima berkaitan status bungkusan makanan tersebut. Ini bagi mengelakkan salah faham. 
Ini berbeza dengan kawasan Parlimen Kulai dan Cheras. Kedua-dua Ahli Parlimennya yang juga dari blok pembangkang mengesahkan bahawa nilai bungkusan makanan yang diterima mereka adalah sekitar RM100 seperti yang dijanjikan. 
Persoalannya, kenapa timbul isu berkenaan di Rasah? Kenapa barangan tersebut tidak bernilai RM100? Perlu diingatkan bahawa barangan itu adalah untuk kegunaan masyarakat berpendapatan rendah yang amat memerlukan. 
Sebelum ini, bekas timbalan menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, terdapat sekurang-kurangnya 54 kawasan Parlimen pembangkang masih belum menerima peruntukan bekalan makanan masing-masing.