Kempen pecat Menteri Kesihatan melalui petisyen online
Berikutan satu demi satu kenyataan lawak jenaka yang dikelaurkan dari mulut Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, satu kempen mengambil tandatangan rakyat Malaysia memecat beliau dianjurkan di atas talian.
Petisyen itu dilancarkan di laman change.org kira-kira empat minggu lepas dan ia mula disebarluaskan selepas menteri terbabit sekali lagi meraih perhatian di media sosial lewat telesidang video bersama ‘500 buah negara’ dalam satu video bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Setakat jam 3 petang semalam, petisyen berkenaan mendapat hampir 4,700 sokongan dari sasaran sebanyak 5,000.
Petisyen berkenaan dimuat naik oleh netizen yang menggunakan nama Lukman Khalid.
Menerusi desakan itu, pengguna terbabit mendakwa Adham gagal untuk memimpin dan meyakinkan rakyat Malaysia mengenai perkembangan terbaru pandemik tersebut.
Sebaliknya, kerja-kerja tersebut telah dilepaskan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
“Nasihat beliau di program Bicara Naratif untuk rakyat Malaysia meminum air suam untuk membunuh virus coronavirus menyebabkan kredibiliti beliau sebagai seorang Menteri Kesihatan dipersoalkan dan diragui
“Malaysia tidak memerlukan sebuah pasu bunga yang terisi dengan air suam sebagai Menteri Kesihatan. Gugurkan Adham Baba,” tulis petisyen itu.
Terdahulu, petikan perbualan video antara Adham dan Zahid ditularkan netizen, yang rata-ratanya menjadikan kenyataan Menteri itu sebagai bahan jenaka.
Sebelum ini, Dr Adham turut menjadi bualan netizen apabila menggalakkan meminum air suam sebagai satu cara membendung Covid-19.