Bekas Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan wira sebenar yang menjadi tunjang dalam berhadapan dengan Covid-19 adalah semua barisan depan petugas lapangan.
“Mereka termasuklah juga petugas perkhidmatan penghantaran makanan online seperti Grabfood dan FoodPanda yang bertugas dari pagi hingga ke malam membantu mengurangkan pergerakan keluar rumah oleh rakyat,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu dalam satu kenyataannya.
Katanya, petugas lapangan yang diselaraskan sedari awal kes Covid-19 dikesan di Malaysia adalah kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga polis, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta lain-lain agensi terlibat sama.
“Inilah pensekatan ‘Whole of Govenment’ (keseluruhan kerajaan) yang dianjurkan WHO (Persatuan Kesihatan Sedunia),” kata Dr Dzul yang mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menjadi pembantu sebenar beliau ketika menjadi Menteri Kesihatan.
Oleh itu, sebagai bekas Menteri Kesihatan yang mula-mula berdepan dengan Covid-19, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka.
“Justeru saya ingin merakamkan pujian serta penghargaan saya yang tidak terhingga khususnya kepada seluruh warga KKM (Perubatan, Kesihatan Awam dll) yang telah bertungkus-lumus mendepani satu demi satu kes yang tampil mendapatkan rawatan di semua premis KKM.
“Juga kepada Hospital Swasta (antaranya Sunway dan KPJ Damansara SH) yg telah mula membantu Hospital Sungai Buloh dan HKL untuk membantu pesakit bukan Covid-19 bagi mengurangkan tekanan kepada Hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Juga buat semua NGO yang membantu (Imaret dan Semua NGO yang membantu).
“Inilah pendekatan ‘Whole of society’ yang ditekankan oleh WHO. Kita perlu penglibatan semua pemegang taruh (Stakeholders)!” katanya.