Selangor peruntuk RM127.78 juta, RM200 untuk petugas barisan depan Covid-19

Selangor peruntuk RM127.78 juta, RM200 untuk petugas barisan depan Covid-19

Kerajaan negeri Selangor memperuntukan RM127.78 juta berupa pakej rangsangan ekoran wabak Covid-19, umum Menteri Besar Selangor pagi ini.
Antaranya adalah memberikan bantuan sekaligus sebanyak RM200 untuk 6,000 petugas barisan depan yang menangani Covid-19 di negeri itu.
Untuk peniaga pula, mereka akan dikecualikan bayaran lesen selama sebulan di samping bantuan kewangan RM500 untuk 80,00 penjaja di Selangor.
Sebanyak tujuh Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam usaha untuk mengurangkan beban kehidupan dan kesulitan ekonomi akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif pertama adalah untuk petugas barisan hadapan yang menangani wabak Covid-19.
Beliau berkata, pihaknya menginsafi betapa petugas-petugas kesihatan bertungkus lumus berkhidmat dan ada di antara mereka terus bertugas tanpa cuti dihimpit kemelut wabak ini.
Oleh yang demikian, katanya kerajaan negeri meluluskan satu insentif one-off sebanyak RM200 kepada 6,000 petugas yang dikenalpasti terlibat di hospital-hospital seluruh Selangor.
“Bantuan makanan ini akan berterusan sehingga 31 Mac 2020. Peruntukan ini berjumlah RM1.2 juta
“Kedua adalah bantuan kepada penjaja dan berniaga berlesen. Pengecualian sewa akan diberikan kepada 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dalam premis bagi meringankan beban akibat kehilangan punca pendapatan utama RM12 juta.
“Turut disediakan adalah pemberian khas one-off sebanyak RM500 bagi melancarkan aliran tunai masing-masing (RM40 juta).
“Permohonan untuk pemberian tersebut akan mula dibuka mulai 1 April 2020 sehingga 30 April 2020.
“Penyaluran pemberian khas akan dilaksanakan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan. Keseluruhan inisiatif ini akan mengakibatkan kos sebanyak RM52 juta,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Amirudin lagi, inisiatif seterusnya adalah penangguhan serta-merta bayaran balik pinjaman sebanyak tiga bulan ansuran kepada semua 40,000 peminjam Skim HIJRAH Selangor.
Katanya, beban kewangan yang akan ditanggung Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM70 juta.
“Bantuan keempat, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan bantuan sara diri one-off sebanyak RM200 bagi 2,500 pelajar yang terkesan dengan larangan pulang ke kampung masing-masing.
“Manakala bagi pelajar-pelajar Selangor di tempat lain khususnya di UNISEL, KUIS, dan Kolej INPENS, Program Makanan Percuma akan dilaksanakan bermula 22 Mac hingga 31 Mac 2020 bagi mahasiswa/i yang terpaksa kekal di kampus masing-masing. Keseluruhan bantuan ini bernilai RM2.3 juta,” katanya lagi.
Bagi Inisiatif kelima, Amirudin berkata kerajaan negeri meluluskan penangguhan bayaran sewa sebanyak tiga bulan ansuran untuk 2,700 penyewa dengan kos sebanyak RM600,000 bertujuan meringankan beban Peserta Skim Smart Sewa.
“Seterusnya, Penggunaan Khas Peruntukan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor. Kelonggaran skop peruntukkan akan diberikan kepada setiap ADN dengan anggaran kira-kira RM30,000 kepada semua 56 ADN di seluruh Selangor untuk sebarang perbelanjaan aktiviti Mesra Rakyat khusus untuk keperluan harian individu / keluarga yang terkesan.
“Peruntukan mininum untuk inisiatif ini berjumlah RM1.68 Juta dan bantuan ketujuh ialah Pelanjutan Tempoh Akhir Bayaran Cukai Tanah / Petak dari 31 Mei 2020 kepada 30 Jun 2020.
“Kelonggaran turut diberikan kepada semua pembayar cukai untuk melewatkan pembayaran cukai tanah / petak selama satu bulan tanpa sebarang bebanan kos pada pihak Kerajaan Negeri.
“Jumlah keseluruhan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin adalah sebanyak Ringgit RM127.78 juta,” katanya hari ini.