Umno Sabah kecewa, seorang pun tak dilantik menteri
Umno Sabah seolah-olah tidak wujud pada pandangan Muhyiddin Yassin kerana tidak seorang pun dilantik ke jawatan menteri atau timbalan
Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata, ahlinya di negeri itu kecewa kerana beliau telah mencadangkan kepada Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi sekurang-kurangnya Mohamad Alamin yang baru-baru ini menang pilihan raya kecil Kimanis, dilantik sebagai timbalan menteri.
“Bagaimanapun, kami tidak dapat. Ramai ahli kami kecewa kerana ahli Parlimen Umno Sabah tidak termasuk dalam Kabinet.
“Tetapi tidak mengapa, ini adalah keputusan perdana menteri. Kekecewaan ini tidak akan menghentikan kami terus berkhidmat untuk kebaikan parti dan rakyat di negeri ini,” katanya kepada FMT.
Hanya Bung Moktar dan Mohamad merupakan ahli Parlimen Umno Sabah.
Sebaliknya, PPBM Sabah, yang mempunyai 5 ahli Parlimen di negeri itu, menyaksikan 2 daripadanya dipilih – Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Kudat Abdul Rahim Bakri yang dinamakan sebagai menteri dan timbalan menteri.
Bung Moktar berkata beliau menggesa ahli parti menerima keputusan itu.
“Kami tidak akan meminta apa-apa jawatan sekarang, terpulang kepada kepimpinan. Kami memberi tumpuan kepada apa yang kami usahakan, iaitu memenangi semula Sabah,” katanya.