MASA DEPAN MASIH KUKUH UNTUK ANWAR..MAHATHIR SUDAH BERLALU.



Tun Mahathir kata Orang Melayu tolak Anwar. Saya tidak setuju dengan Mahathir dalam soal ini.
Kalau hendak tahu orang Melayu sokong Anwar Ibrahim maka bagi peluang Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri seperti yang dijanjikan.
Janji ini tidak dipenuhi. Janji ini dimungkiri. Bercanggah dengan budaya Melayu.
Ada bidalan Melayu. Kerbau dipegang pada talinya; manusia dipegang pada janjinya.
Memang ada orang Melayu yang tak suka pada Anwar. Mereka ini segelintir saja. Hanya beberapa kerat orang saja.
Mereka ini terdiri di kalangan kapitalis kroni Melayu yang berpengaruh yang menguasai politik, ekonomi dan media massa.
Kapitalis kroni yang jutawan, maha jutawan dan bilioner ini kebanyakan menjadi kaya raya semasa Mahathir jadi Perdana Menteri ke4 selama 22 tahun lalu dan kembali berkuasa baru baru ini apabila Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri ke7.
Kapitalis kroni Melayu ini yang menentang kuat dasar ekonomi yang hendak dibawa oleh Anwar apabila Anwar jadi Perdana Menteri.
Agenda ekonomi rakyat jelata yang miskin, yang berpendapatan rendah, yang hidup susah dan menderita dari pelbagai kaum yang majoriti dalam kelas bawahan ini rakyat Melayu yang ingin diangkat oleh Anwar Ibrahim supaya mereka ini bebas dari kemiskinan dan kemunduran melalui reformasi ekonomi amat ditakuti oleh kelas elit berkuasa Melayu.
Anwar Ibrahim amat tahu Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Kedudukan Istimewa orang Melayu telah disalahgunakan oleh pemimpin pemimpin politik Melayu, elit ekonomi dan elit berkuasa Melayu untuk mengkayarayakan diri mereka sendiri dan membiarkan majoriti rakyat Melayu terus hidup miskin dan melarat.
Tun Mahathir perlu mengakui selama tempoh 22 tahun tambah 2 tahun lagi jadi Perdana Menteri beliau hanya berjaya melahirkan beberapa kerat jutawan, mahajutawan dan bilioner Melayu tetapi gagal melepaskan puluhan juta orang Melayu lainnya dari kemiskinan dan kemunduran.
Anwar Ibrahim 2 tahun ditahan di bawah ISA kerana memperjuangkan nasib orang Melayu miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974. Agenda menolong orang Melayu miskin ini diteruskan semasa beliau menjadi Menteri Kewangan Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri.
Anwar Ibrahim semasa mahasiswa memperjuangkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Ini diteruskan apabila beliau menjadi Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri.
Anwar Ibrahim semasa jadi pemimpin belia membela nasib rakyat Melayu di selatan Siam dari kekejaman penindasan regim tentera Thailand di bawah kepimpinan Perdana Menteri Thanom Kittikarchon.
Anwar pemimpin dunia Islam dari Nusantara Melayu yang telah memperjuangkan nasib rakyat Palestin sejak dari beliau muda hinggalah sampai kini.
Saya menyatakan ini bukan untuk menjadi macai Anwar Ibrahim atau mahu mengampunya. Saya tak perlu itu semua.
Saya menulis dan bercakap seperti ini kerana saya melihat dengan mata kepala saya tentang perjuangan Anwar Ibrahim.
Beri peluang Anwar jadi Perdana Menteri kalau hendak lihat rakyat Melayu yang miskin, nelayan, petani, buruh, penjawat awam bawahan dan menengah sokong Anwar Ibrahim atau tidak.
Mahathir telah mungkir janji kepada Anwar. Mahathir telah menafikan hak rakyat Malaysia dalam PRU14 untuk mendapatkan Anwar menjadi Perdana Menteri mereka yang ke-8.
Tetapi Mahathir tidak akan menongkat langit. Anwar akan kembali ke Parlimen Malaysia. Anwar kini menjadi Presiden PKR yang lebih teguh dan bersih selepas tersingkirnya para pengkhianat.
Anwar dan rakan rakan kepimpinan dalam Pakatan Harapan akan memperkuatkan PH dalam Parlimen Malaysia dan lebih bersedia menghadapi PRU ke-15.
Tun Mahathir boleh mencemuh dan menghina Anwar sekarang dengan Anwar tetap sopan dan tidak mahu menyerang balas secara kasar dan tidak berhemah.
Tetapi Mahathir tidak boleh menahan Anwar Ibrahim bagun kembali memimpin rakyat Malaysia secara keseluruhannya secara inklusif dari semua kaum dan agama.
Masa hadapan terbuka kepada Anwar Ibrahim. Masa Tun Mahathir telahpun berlalu.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Jumaat 13 Mac 2020