Kerajaan PN dipersoal tidak berani guna rizab negara
Ketidak beranian kerajaan Melayu Perikatan Nasional menggunakan rizab persekutuan yang dikhabarkan sejumlah RM400 bilion bagi memberi elaun kepada rakyat dipersoalkan
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu lebih berani menggunakan dana yang ada bagi mengenalpasti keperluan semua lingkungan yang terkesan dengan Covid-19.
Beliau mendesak satu langkah tegas dilaksanakan dan mahu kelompok berpendapatan rendah seperti nelayan, petani peniaga kecil diberi bantuan tunai secukupnya.
Selain itu, dalam kenyataan yang disiarkan di akaun Facebook beliau siang tadi, Anwar menyelar langkah kerajaan membenarkan orang ramai mengeluarkan wang sendiri dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dengan mempertaruhkan risiko masa depan mereka.
“Rangsangan ekonomi mesti, mesti, mesti dan segera tampung golongan susah miskin hari ini seperti petani nelayan dan pekebun,” ujarnya dalam rakaman di media sosialnya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perkembangan Covid-19 termasuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.
Bagaimanapun Anwar bersetuju dengan pelanjutan PKP dan mahu rakyat mematuhi demi kebaikan bersama.