KEBETULAN ATAU DIRANCANG ?



⁃ Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP dilanjutkan lagi selama 14 hari sehingga 14 April 2020.
⁃ Umat Islam mula berpuasa pada 24 April 2020.
⁃ Pembukaan penggal pertama Sidang Parlimen di mana PH dijangka akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri ialah 18 Mei 2020.
⁃ Berikutan arahan Pendaftar Pertubuhan atau RoS yang tidak membenarkan sebarang aktiviti parti sebelum 30 Jun, ini bermakna pemilhan pucuk pimpinan Bersatu di mana persaingan paling menarik adalah antara Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir bagi jawatan Presiden, dijangka akan berlangsung pada Julai atau Ogos 2020.
⁃ Selepas 14 April 2020 apabila PKP berakhir, momentum rakyat diramalkan akan berubah kerana tekanan ekonomi yang dihadapi oleh majoriti rakyat akan membuatkan mereka lebih menuntut pelbagai perkara daripada kerajaan, sekaligus memberi lebih tekanan kepada Muhyiddin, kecuali jika pelan rangsangan ekonomi yang diumumkannya 30 Mac nanti benar-benar dapat memberi kelegaan.
Berdasarkan rentetan peristiwa mendatang itu, persoalan paling penting ialah dapatkan Muhyiddin meloloskan diri daripada usul undi tidak percaya di Parlimen dalam sidangnya yang bermula 18 Mei nanti?
Meskipun perlanjutan tarikh PKP sehingga 14 April adalah sesuatu yang mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi dengan Sidang Parlimen akan bermula pada 18 Mei, ramai yang beranggapan lanjutan itu dengan sendirinya memberi kelebihan kepada Muhyiddin untuk berdepan usul undi tidak percaya terhadapnya.
Masa yang suntuk, selain bulan puasa, ia dikatakan akan menghadkan ruang untuk Tun Mahathir dan PH untuk bergerak dan mencari persefahaman berhubung usul tersebut.
Dalam hal ini, ada laporan daripada mereka yang bertemu dengan Tun Mahathir menyebut bahawa bekas Perdana Menteri itu akan mula pusing ke seluruh negara berkempen untuk menjatuhkan Muhyiddin sebaik saja arahan PKP berakhir.
Kempen Tun Mahathir itu merangkumi dua fasa – fasa pertama melalui usul undi tidak percaya dan fasa kedua, menerusi pemilihan Bersatu.
Dengan PKP dilanjutkan sehingga 14 April dan Parlimen mula bersidang pada 18 Mei, apakah ia mampu menyempitkan masa Tun Mahathir berkempen untuk menjatuhkan Muhyiddin?
Atau melalui kesan ekonomi yang merata dan membuatkan rakyat lebih menekan kerajaan selepas PKP berakhir, ia akan dengan sendirinya membuatkan ramai Ahli-Ahli Parlimen merasakan perubahan adalah lebih baik daripada terus mengekalkan Muhyiddin memimpin negara yang daripada penampilannya jelas menampakkan beliau kurang cergas dan tidak meyakinkan?
Kemudian, kalau pun Muhyiddin mampu melepasi halangan pertama usul undi tidak percaya di Parlimen, mampukah juga beliau mempertahanlan kedudukannya daripada disingkirkan oleh Tun Mahathir sebagai Presiden dalam pemilihan Bersatu?
Memandangkan Tun Mahathir sudah diumumkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu dan ini memberi kelebihan kepadanya untuk menjelajah ke seluruh negara, manakala Muhyiddin lebih ditekan dengan kesibukan dan beban tugas sebagai Perdana Menteri kesan daripada PKP yang membuatkan ramai ditimpa kesusahan, apakah wabak Covid-19 gelombang kedua ini lebih mungkin menjadi penamat awal kepada karier seorang Perdana Menteri yang menurut kata Hadi Awang, ia diperolehi melalui tebukan atap? 

(ShahbudinHusin 26/03/2020)