KENYATAAN MEDIA MAJLIS SETIAUSAHA PAKATAN HARAPAN




31 Mac 2020

Untuk Selamatkan Pekerja, PKS Perlu Lebih Bantuan; Untuk Selamatkan Ekonomi, Usaha Dwipartisan Diperlukan

Umum sedia maklum pakej rangsangan yang diumum YAB Perdana Menteri pada 27hb Mac lalu merangkumi bantuan kebajikan khusus buat dua bulan ke depan. Sekiranya dilaksana dengan baik, ia mampu membantu rakyat Malaysia memenuhi keperluan asasi dalam memenuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu wabak Covid-19 menular.

Walau bagaimanapun, pakej tersebut tidak menjelaskan rancangan fiskal yang mampu mengelak kehilangan pekerjaan akibat kesan ekonomi meleset terhadap syarikat-syarikat terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Di Malaysia, PKS menyediakan 7 dari 10 pekerjaan di Malaysia dan memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan serta pendapatan bagi Kerajaan melalui pembayaran cukai korporat. Maka bantuan tambahan amat diperlukan bukan sahaja demi membela kebajikan rakyat, tetapi juga nasib PKS.

Kerajaan akan membelanjakan RM5.9 bilion di bawah Program Subsidi Upah bagi membayar RM600 sebulan untuk tiga bulan bagi 3.3 juta pekerja. Majlis Setiausaha berpandangan jumlah ini belum memadai dan mencadangkan agar bayaran ini dinaikkan ke RM1,200, bersamaan kadar gaji minima negara. Langkah ini bukan sahaja akan membantu pekerja tetapi juga PKS dengan meringankan beban bayaran gaji serta membantu mengelakkan pekerja dibuang kerja. Jumlah lebih besar ini selari dengan usaha yang dilaksana di beberapa negara lain termasuk Singapura, United Kingdom dan Australia.

Majlis Setiausaha juga berpandangan keadaan ekonomi terutama enam bulan ke depan memerlukan perancangan rapi dan sokongan dwipartisan. Ini kerana kesan wabak Covid-19 terhadap ekonomi bersifat jangkamasa panjang dan berupaya mengubah ekonomi global.

Oleh itu, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menggesa agar satu sidang Parlimen tergempar dipanggil bagi membincangkan masalah ekonomi Malaysia hari ini, termasuk kerjasama dwipartisan bagi membendung wabak dan menyelamatkan negara.

YB DS Shamsul Iskandar Mohd Akin
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Khalid Samad
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Dr Ong Kian Ming
Parti Tindakan Demokratik (DAP)