Kartel khianati mandat rakyat – Anwar
Kecamukan politik Malaysia dan dalaman PKR dilakukan oleh puak kartel yang telah lama berjuang lebih kepada untuk kepentingan peribadi.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata demikian dalam himpunan petang di rumah beliau semalam.
“Apabila kita mula pegang sedikit kuasa, selalu saya ingatkan, ramai daripada kita terpukau dengan kilauan kuasa dan harta.
“Akhirnya berjuang kerana jawatan menteri bukan kerana idealisme perjuangan. Apa janji mereka pada rakyat?
“Kita sudah tahu bertahun lalu. Parti ini berkecamuk sedikit sebanyak kerana usaha-usaha sedemikian. Tetapi ramai yang kurang yakin pada masa itu.
“Sekarang terbukti yang kita serang kartel ini adalah orang yang khianat kepada amanah rakyat dalam pilihan raya lalu,” katanya dipetik.
Sehubungan itu, Anwar menyeru agar ahli parti tersebut menggilap semula idealisme perjuangan.
“Parti harus kuat. Simpang-siur politik siapa menteri, perdana menteri ini adalah sandiwara sementara.
“Kita ikut landasan perjuangan kita. Jangan kita terlalu gusar,” serunya lagi.
Anwar dan bekas Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali umum dikenali sudah tidak sehaluan walaupun pada PRU-14 lalu, PKR menjadi parti terkuat dalam kerajaan dengan 50 kerusi.
Pada 18 November tahun lalu, Azmin yang ketika itu Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen, termasuk pembangkang di kediaman rasminya di Presint 10, Putrajaya.
Turut kelihatan dalam pertemuan itu ialah bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin yang ketika itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pengaruh dari kem Mohamed Azmin dilihat lebih mendominasi sepanjang berlangsungnya Konvensyen Nasional PKR di Melaka tahun lalu.
Krisis dalaman PKR itu kemudiannya menyaksikan pemecatan Azmin dan Zuraida berkuat kuasa serta-merta pada 24 Februari lalu.