Kerajaan pintu belakang heret Tun M mungkir janji
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim tampil membidas pihak yang cuba “mengekalkan Dr Mahathir (Mohamad) terus jadi perdana menteri dengan memungkiri janji”
Dalam satu kenyataan, Hassan Karim berkata, walaupun rancangan menghalang Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan atau menyingkirkan parti DAP, KEADILAN dan Amanah dari Kerajaan Persekutuan melalui pembentukan kerajaan baharu, namun beliau mempersoalkan apakah rakyat akan menerima penubuhan kerajaan tidak bermaruah itu.
“Adakah rakyat boleh menerima gabungan Pakatan Nasional (PN) yang bersifat amat oportunis itu?
“Ia sebenarnya, jika benar-benar wujud bukannya layak dipanggil Pakatan Nasional, sebaliknya ialah pakatan parti-parti politik oportunis,” kata.
Hassan Karim merujuk desas-desus kononnya ada inisiatif untuk membentuk gabungan parti politik yang dipanggil PN bagi menggantikan HARAPAN yang dikhabarkan akan disertai Umno, Pas dan Bersatu.
Walaupun khabar angin itu tidak dapat disahkan, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, parti itu secara dasarnya bersetuju dengan idea tersebut.
Sebagai rekod, PAS pada tahun lalu menjalin kerjasama politik erat bersama Umno melalui Muafakat Nasional setelah parti itu mendakwa mahu bersendirian dan menjadi ‘king maker’ atas pentas politik negara.
Sebelum ini terdapat usaha mengheret Dr Mahathir memungkiri janjinya, beberapa pemimpin yang sebelum ini menolak cadangan Dr Mahathir menjadi perdana menteri membuat pusing-U apabila menyatakan sokongan agar Mahathir menjadi perdana menteri sehingga habis tempoh mandat.
Sedangkan Dr Mahathir dengan jelas berkata, beliau sama sekali tidak akan memungkir janji untuk menyerahkan tampuk kepimpinan kepada penggantinya Anwar Ibrahim seperti dipersetujui HARAPAN.
Semalam, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan pendirian parti untuk bersetia dengan persefahaman serta perjanjian yang dimeterai dengan HARAPAN
“KEADILAN bersikap setia kepada HARAPAN dan kami akan mempertahankan mandat diberi rakyat pada 2018,” katanya.
Sebelum ini, Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, apa-apa usaha menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang bukan sahaja mengkhianati rakyat.
Ia tegasnya akan menyebabkan pelabur hilang keyakinan kepada kerajaan dan seterusnya meletakkan Malaysia dalam risiko besar.