Audit Kementerian Pertahanan hampir siap, Mat sabu sindir Hisham
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memilih untuk menyindir bekas Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein berhubung audit forensik pentadbiran terdahulu bagi menjawab sindiran Hisham sebelumnya, kononnya menteri Malaysia berjenaka berkenaan Roti John dalam satu mesyuarat keselamatan peringkat tinggi di London.
Mat Sabu menasihati Hishammuddin supaya menjawab persoalan mengenai kontrak mencurigakan, bukannya memberi perhatian kepada “cerita palsu” menyasarkan dirinya.
“Lebih baik jawab mengenai isu pembelian helikopter dan lain-lain. Audit forensik akan siap dalam beberapa hari lagi.
“Saya nasihatkan dia jawab isu itu,” katanya dipetik FMT.
Tahun lepas, pembantu Mat Sabu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegagalan Kementerian Pertahanan menerima 6 helikopter bernilai RM300 juta selepas 1/3 kosnya dibayar.
Semalam, Hisham menyindir Mat Sabu menggunakan peribahasa Afrika untuk menggambarkan dilema keselamatan Malaysia.
“When elephants fight, the grass will suffer,” kata Mat Sabu pada satu sidang kemuncak pertahanan di Singapura tahun lepas.
Hishammuddin berkata, “hari itu kecoh menteri PH cerita kisah gajah bertembung dalam satu persidangan antarabangsa.
“Kali ini kisah roti john pula. Saya harap cerita ini palsu,” kata ahli Parlimen Sembrong itu di Facebook.
Sebelum ini Mat Sabu mengancam untuk menyaman mana-mana orang mengaitkan beliau sebagai individu membuat jenaka yang gagal menarik perhatian seorang pegawai asing dalam satu mesyuarat keselamatan peringkat tinggi.
“Semuanya pembohongan belaka dalam The Star,” katanya dipetik dari London.
“Kalau nama saya disebut, saya akan saman. Tak ada sepatah pun perkataan begitu saya pernah sebut,” katanya.
Tanpa menamakan beliau, seorang kolumnis akhbar The Star mendakwa satu “cerita” yang menurutnya berkaitan seorang diplomat asing, tentang seorang menteri Malaysia bertemu “seorang pegawai tinggi” bernama John.
“Nama anda John. Di negara saya ada ‘roti john’. Jika anda datang ke negara saya, saya akan masak ‘roti john’ untuk anda,” kata menteri berkenaan menurut penulis tersebut.
“Katanya walaupun ia pelawaan yang menyelerakan, pegawai tersebut tidak tertarik kerana mesyuarat berkenaan berkait urusan keselamatan yang serius,” katanya.
Roti john popular di Malaysia dan Mat Sabu juga terkenal dengan kemahirannya memasak.