RM7 juta dalamkan Marina Melaka
Kerajaan Persekutuan menyalurkan kira-kira RM7 juta membiayai penyelenggaraan dan projek mendalamkan dasar laut di pesisir pantai jeti pelabuhan Marina Melaka.
Ketua Menteri Adly Zahari berkata, peruntukan menerusi Jabatan Laut Malaysia itu melibatkan kerja-kerja pengorekan laut sedalam empat meter di kawasan kira-kira 500 meter dari jeti tersebut yang dijalankan pada pertengahan 2019.
Jelasnya lagi, projek itu dilaksanakan bagi membolehkan jeti tersebut berperanan sebagai pusat persinggahan pelancong menerusi laluan laut khususnya kapal persiaran yang secara langsung akan merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri itu.
“Usaha naik taraf dan penyelenggaraan ini bagi membolehkan Marina Melaka dapat beroperasi semula selepas berdepan isu kedalaman perairan.
“Industri pelancongan kapal persiaran ini misalnya berpotensi besar untuk dibangunkan kerana lebih 100 kapal dari seluruh dunia melalui Selat Melaka. Malah, sejak beroperasi semula, hampir 60 kapal persiaran singgah di jeti Marina ini dengan anggaran 2,000 penumpang bagi setiap kapal,” katanya dipetik laporan Bernama.
Mengulas selanjutnya, Adly berkata Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyusun strategi lain bagi memacu industri pelancongan Melaka.
Adly sebelum ini dilaporkan berkata bagi tempoh sembilan bulan pertama 2019, Melaka menerima kedatangan lebih 13.67 juta pelancong berbanding lebih 13.02 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.