PKR Miri bantu rakyat pendalaman dapatkan bantuan kerajaan
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Miri mengambil inisiatif membantu rakyat di pendalaman kawasan itu memohon atau mengemas kini permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH), MySalam dan PeKa B40.
Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo berkata, usaha berkenaan bagi memudahkan urusan pemohon.
Pemohon jelasnya sebelum ini terpaksa mengeluar kos yang banyak untuk ke bandar bagi berbuat demikian.
Malah menurutnya mereka yang layak menerima BSH secara terus membolehkan mereka menerima rawatan kesihatan PeKa B40, namun perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.
Sehubungan itu beliau bercadang membawa doktor ke kawasan-kawasan pedalaman bagi pemeriksaan kesihatan memandangkan kos pengangkutan membuat pemeriksaan kesihatan di bandar sangat tinggi.
“Bukan sahaja di kawasan pedalaman yang kita utamakan, malah mereka yang tinggal di kawasan bandar juga akan dibantu.
“Ia terutama mereka yang tidak tahu cara permohonan atau mempunyai pertanyaan yang berkaitan,” tambahnya dalam satu sidang media yang turut dihadiri Naib Pengerusi KEADILAN Baram Philip Jau, Ketua Cabang Hulu Rajang Abun Sui Anyit
Sementara itu, Abun Sui Anyit berharap kerajaan dapat mempertimbangkan agar rakyat yang layak menerima BSH di kawasan pedalaman agar menerima bayaran secara sekali gus.
“Untuk turun ke kawasan bandar khususnya mereka yang tinggal di kawasan Hulu Rajang, memerlukan kos pengangkutan iaitu RM100 turun dan untuk balik RM100, kalau ada hotel yang termurah pun mungkin RM50.
“Untuk fasa pertama BSH ialah RM300, kos pengangkutan dan penginapan yang diperlukan adalah RM250, hanya RM50 sahaja yang akan dibawa pulang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada usaha yang dilaksanakan Dr Teo bagi membolehkan penduduk di kawasan pedalaman menerima pemeriksaan kesihatan untuk PeKa B40.