Konflik AS – Iran: PBB perlu nyata pendirian – Anwar
Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran supaya mengadakan dialog bagi meredakan konflik di rantau Teluk.
Gesaan itu susulan perseteruan kedua-dua negara yang memuncak sejak hujung minggu lalu.
Anwar berkata, dialog itu perlu bagi mencari kesepakatan untuk menjamin kestabilan semasa susulan ketegangan tercetus antara dua pihak yang dibimbangi boleh mencetuskan peperangan.
“Saya ambil maklum mengenai perkembangan terkini berkaitan di Asia Barat. Tidak ada negara boleh menceroboh atau menyerang negara lain, selaras undang-undang antarabangsa.
“Ia bukan hanya menjejaskan warga Iran, malah Iraq juga sudah mengarahkan tentera AS untuk berundur dari negara itu,” kata Anwar dalam satu sidang media semalam.
Semalam, Iran melancarkan serangan peluru berpandu terhadap markas udara menempatkan tentera AS dan tentera bersekutu di Iraq.
Tindakan itu dianggap sebagai tindakan membalas dendam atas kematian komander tertinggi Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Qasem Soleimani
Sementara itu, Anwar turut menggesa semua kuasa demokratik dan aman bertindak tegas meminta AS serta Iran tidak membiarkan krisis itu melarat sehingga mengakibatkan peperangan.
Malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tegasnya perlu mengambil pendirian dan ketetapan berhubung isu kedua negara itu. – RF8 Media