*4 Januari 2020*
*Tarikh Peralihan Kuasa Bukti Pimpinan Pakatan Harapan Berpegang Pada Janji*
Saya mengambil maklum berkenaan kenyataan Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (HARAPAN) bahawa HARAPAN perlu fokus kepada pelaksanaan manifesto berbanding isu peralihan kuasa Perdana Menteri.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana beliau menyatakan HARAPAN komited dengan konsesus yang dibuat dalam Perjanjian Muafakat Pakatan Harapan pada 6 Januari 2018 yang juga turut menyatakan Dato' Seri Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Namun Saifuddin sepatutnya perlu melihat kesan menyeluruh terhadap isu peralihan kuasa yang seolah tidak ada kata putus dari Perdana Menteri mahupun Majlis Presiden Pakatan Harapan berkaitan tarikh penyerahan kuasa.
Beberapa kenyataan Tun Mahathir yang kebelakangan ini dilihat seolah cuba menangguhkan peralihan kuasa dilihat sebagai satu pengkhianatan dimata rakyat yang menilai akan ketelusan HARAPAN melaksanakan janji.
Jika kita mahu cerita tentang pelaksanaan janji dalam manifesto, kita perlu akui kita dalam prestasi paling teruk setelah setahun setengah kita memerintah walau apapun alasan kita beri.
Dan jika janji peralihan kuasa ini pun pimpinan HARAPAN gagal untuk kotakan, maka tidak mustahil rakyat menilai kita sebagai pemerintah yang memungkiri janji dan kita akan hadapi kesukaran untuk mendapat kepercayaan rakyat PRU-15 akan datang.
Bukan sahaja di semenanjung malah di Sabah sendiri rakyat sudah mula tertanya bila peralihan kuasa berlaku kerana rakyat inginkan agenda reformasi segera terlaksana serta institusi kerajaan dibersihkan dari pegawai-pegawai yang korup dan rakyat yakin hanya kerajaan di bawah pimpinan Dato' Seri Anwar mampu merealisasikan agenda reformasi yang diperjuangkan sejak 20 tahun lalu.
Saya setuju pandangan Ketua Pemuda HARAPAN, YB Syed Saddiq bahawa isu peralihan kuasa ini perlu dibincang dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan. Sama seperti saranan beberapa pemimpin lain, saya juga meminta dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan akan datang, Majlis Presiden perlu muktamadkan serta mengumumkan tarikh peralihan kuasa agar tidak ada lagi kecurigaan mahupun persegeran sesama kita.
*Raymond Bin Ahuar*
Ketua Pemuda
Pakatan Harapan Sabah