Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi secara berseloroh menobatkan bekas perdana menteri, Najib Razak sebagai “juara cybertrooper” Barisan Nasional (BN).
“Kerana dia secara terang-terangan mengeluarkan berita palsu tanpa asas. Ini adalah bukti bahawa dia adalah cybertrooper nombor satu,” kata Shu Qi pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Najib bahawa DAP kononnya mahu “rekrut 100 cybertrooper” menerusi iklan kerja kosong yang disiarkan di sebuah laman sesawang pencarian kerja.
Cybertrooper lazimnya dikaitkan dengan individu yang melakukan kerja-kerja penyebaran berita palsu dan fitnah di platform media sosial.
Mengulas lanjut, Shu Qi berkata, pembacaan, selain merujuk kepada sumber yang benar, membolehkan seseorang menilai kesahihan sesuatu berita atau maklumat yang diterima.
“Rakyat Malaysia, perlu giat membaca, bukan sahaja media yang selalu kita baca di media sosial, tetapi sumber-sumber lain supaya dapat membentuk satu perspektif yang lebih seimbang.
“Kita juga perlu semak sebarang maklumat yang diterima melalui media sosial, khususnya Whatsapp, daripada mana sumber berita itu bagi memastikan kesahihannya,” ujarnya.