ANWAR LAPOR POLIS



PENDEDAHAN Muhammad Yusoff Rawther semalam kononnya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gangguan seksual ke atasnya adalah cubaan menggagalkan proses peralihan kuasa.




Setiausaha Sulit Anwar, Shukri Saad berkata, ia adalah fitnah yang direka dan diulang-ulang sekali lagi.

Menurutnya, sehubungan itu, pihaknya tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi hari ini susulan akuan bersumpah Muhammad Yusoff.

“Saya menafikan kenyataan itu dan menyerahkannya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Kita akan kaji dan tengok tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Muhammad Yusoff,” katanya ditemui selepas membuat laporan polis hari ini.

Katanya, isu itu remeh dan nampak ada perancangan untuk menggagalkan proses peralihan kuasa yang sedang berlaku ketika ini.

Semalam Muhammad Yusoff dalam pengakuan bersumpah mendakwa kononnya ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai perbuatan keji, teruk, tersembunyi, tidak Islamik, berbahaya dan tidak bermoral terhadapnya.