Kongres PKR: Usul undi tidak percaya atas Anwar palsu
Tiada usul tidak percaya yang akan dibuat terhadap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Kongres Nasional parti itu yang bakal berlangsung.
Perkara itu disahkan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil ketika ditemui pihak media siang tadi.
Menurut Fahmi, setakat ini, semua usul yang dibawa dari peringkat cabang dan sayap telah dihanyar ke peringkat jawatankuasa dan tiada sebarang permintaan untuk usul tidak percaya.
“Mekanisme untuk menghantar atau mengangkat satu usul untuk dibahas atau dibincang pada kongres adalah melalui Mesyuarat Agung Tahunan cabang dan sayap.
“Pada bulan Ogos hingga Oktober lepas semua kita laporan mesyuarat mereka telah dihantar ke pusat, dah proses dan sefahaman saya tak ada usul itu (usul tidak percaya),” katanya.
Dipercayai desas desus bahawa ada usaha membawakan usul tidak percaya itu ada kaitan dengan pertembungan dalaman parti itu antara penyokong KEADILAN dengan penyokong Timbalan presiden, Mohammed Azmin Ali.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Perbahasan Kongres AMK 2019 Chua Wei Kiat turut mengesahkan kenyataan Fahmi.
“Setelah semakan dibuat, kami mendapati tidak ada sebarang usul seperti yang disebut oleh saudara Nazrin dibangkitkan oleh mana-mana AMK peringkat cabang,” katanya yang juga setiausaha pengelola AMK
Terdahulu, usul undi tidak percaya itu didakwa akan dibawakan sekumpulan individu daripada satu sayap parti berkenaan, ia turut dikaitkan dengan isu pemecatan beberapa ahli parti itu baru baru ini.
Dua ahli yang keahlian mereka dipecat Lembaga Disiplin ialah Ketua Cabang PKR Bera, Zakaria Abdul Hamid, dan ahli PKR negeri pahang Ismail Dulhadi.