Keputusan ambil alih lebuh raya PLUS, Gamuda minggu depan
Kerajaan Pakatan Harapan akan mengumumkan salah satu janji penting manifesto, iaitu mengurangkan kadar tol dengan pengambilalihan lebuh raya PLUS dan Gamuda pada minggu hadapan.
Kabinet dijangkakan membuat keputusan mengenai cadangan tersebut, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
“Harap minggu depan. Kerajaan membekukan kenaikan kadar tol tahun ini dan perlu membayar pampasan. Oleh itu kami perlu membuat keputusan segera atau jika tidak, angkanya akan terus meningkat,” kata Lim dipetik.
Menteri Kerja Raya Baru Bian baru-baru ini berkata Kabinet mengarahkan butiran mengenai pengambilalihan PLUS itu dibentangkan semula.
Empat lebuh raya berkaitan Gamuda ialah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).
Lim berkata keputusan mengenai pengambilalihan itu mesti memberi manfaat kepada kerajaan, pemilik PLUS – Khazanah Nasional Bhd (51%) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 49% kepentingan – selain rakyat.
Kementerian Kewangan menyokong cadangan Khazanah dan KWSP bagi memastikan mereka memperoleh nilai adil ke atas portfolio pelaburan masing-masing, dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada negara dan pengguna jalan.
Pengambilalihan itu mesti memenuhi 2 syarat, diskaun minimum 18% selain positif dari segi fiskal.
Sementara itu, Lim berkata Kabinet perlu memutuskan sama ada elaun ahli politik dan menteri dipotong selepas beberapa menteri bersetuju dengan cadangan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai pemotongan elaun ahli politik dan menteri.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi pekeliling pada 20 Dis menyatakan BIPK bagi penjawat awam dalam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal akan dimansuhkan bagi pelantikan baru mulai 1 Jan 2020.
Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersetuju menangguhkan pemansuhan BIPK itu, dan keputusannya hanya ditentukan selepas perbincangan bersama Jemaah Menteri pada mesyuarat pertama Januari ini.
“Bagi Kementerian Kewangan, sebarang penjimatan adalah baik. Jika ada penjimatan, sudah tentu saya sambut baik selaku menteri kewangan. Namun disebabkan ia melibatkan menteri lain atau kementerian lain, saya percaya perkara ini perlu diputuskan oleh Kabinet,” kata Lim.