Kenakan tindakan MP tak isytihar harta – C4
Ahli parlimen yang tidak mengisytihar harta wajar dikenakan tindakan tegas, kata NGO Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4)
Pengarah Eksekutifnya, Cynthia Gabriel dalam satu kenyataan berkata sikap MP pembangakang yang masih enggan mengisytiharkan harta seolah-olah memperkecil-kecil usaha kerajaan untuk menjamin ketelusan badan penggubal undang-undang di negara ini
Beliau berkata, hanya 160 daripada 222 ahli Parlimen – 139 dari Pakatan Harapan – mengisytiharkan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sehingga 5 Dis.
Ia berlaku walaupun Perintah Tetap akan merujuk ahli Parlimen yang enggan mengisytiharkan aset mereka kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan di bawah Peraturan Mesyuarat 80 dan masa tambahan 2 bulan diberikan kepada mereka.
“Jelas, Perintah Tetap sahaja tidak cukup kuat untuk memaksa ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka sebagai sebahagian akauntabiliti mereka sebagai penggubal undang-undang.
“C4 percaya tindakan punitif sebenar mesti dikenakan terhadap mereka yang enggan mematuhi keperluan itu,” katanya dipetik.
Cynthia berkata inilah sebabnya mengapa C4 menggesa pengisytiharan aset dikanunkan, dan tindakan punitif dinyatakan dengan jelas.
Apabila ia dikanunkan, beliau berkata, kaedah pengawalseliaan yang betul dengan tindakan punitif akan digariskan dengan jelas.
Beliau berkata, kerajaan harus memastikan undang-undang baru itu terpakai kepada penggubal undang-undang dan pegawai awam di semua peringkat dalam kerajaan supaya pengisytiharan aset diumumkan.
Cynthia juga menyeru speaker Dewan Rakyat menggantung ahli Parlimen yang enggan mengisytiharkan aset mereka, sambil berkata tamabahan masa 2 bulan itu menunjukkan “banyak kelonggaran kepada Ahli Parlimen yang bersalah”.
Sebelum ini ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar menggesa agar peruntukan ke kawasan parlimen yang mana MPnya enggan mengistihar harta digantung.